Ainul Mardhiah sebelum ini yang disahkan mengalami jangkitan di seluruh badan kini terpaksa dipasangkan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan ditidurkan bagi mengawal sawan serta merehatkan otaknya.
Berita itu dikongsikan sendiri oleh ayahnya, Ahmad Safiuddin menerusi perkongsian di Facebook hari ini berkenaan keadaan terkini Adik Ainul.
Maklum Safiuddin, Ainul kelihatan sangat penat selepas diserang sawan panas berapa kali.
“Hari ini Ainul diventilate (ventilator) lagi dan ditidurkan bertujuan untuk kawal sawan dan rehatkan otaknya. Ainul nampak penat sangat lepas diserang sawan panas banyak kali. Hari ini, biarlah dia berehat,” katanya.
Tambahnya, dia turut berdoa kepada Yang Maha Berkuasa agar memberi solusi terbaik kepada pihak perubatan dalam menyelamatkan nyawa anaknya itu.
“Saya doa semoga Allah SWT bukakan jalan dan bimbing para doktor cari punca masalahnya. Doktor semua sedang berusaha keras mencari jalan rawatan yang terbaik, saya saksikannya. Kakak kakak misi pun semua jaga Ainul dengan baik,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Safiuddin turut menambah dalam kenyataan itu,”Kita usaha, kita doa dan akhir sekali, kita kena sedar bahawa Allah SWT jualah pemilik segala kesembuhan dan kesihatan.
“DIA kalau nak bagi, tidak ada satu tangan pun boleh halang. Begitu juga jika DIA nak tarik nikmat nikmat yang ada dalam hidup kita hari ini.
“Saya redha dan saya dah halalkan anak saya, namun saya tidak akan berputus asa dan tak akan berhenti berdoa. Apa yang bakal berlaku, saya percaya itu lah yang terbaik dariNya,” tulisnya.
https://www.facebook.com/ahmadsafiuddinahmadrazak/posts/pfbid02npWibJfHQZUu2BSY9Qx61wHVWwZaR17kjhqTcHqqCEsJCkgq28MjQkca8yTtGC6ul
Terdahulu, ibunya, Nurul Erwani Binti Zaid berkongsikan keadaan Ainul selepas doktor mengesahkan kanak-kanak itu mengalami jangkitan pada hampir seluruh bahagian badannya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh ibunya di Instagram, _nrlerwani menunjukkan keadaan terkini kanak-kanak berkenaan.
Difahamkan, Ainul sedang berada di Pediatric Intensive Care Unit (PICU) dan doktor menjelaskan bahawa keadaan yang dihadapi oleh kanak-kanak itu agak kritikal dan tenat.
Yang lebih menyayat hati lagi, satu badan Ainul dipenuhi dengan wayar seperti yang tertera dalam gambar yang dikongsikan oleh ibunya.
“Ainul berada di PICU sekarang. Doktor ICU beritahu keadaan Ainul kali ni agak kritikal dan tenat. Satu badan penuh dengan wayar dah anak mama ni,” kata Erwani dalam kenyataan ketika itu.
Tambah Erwani, dia memohon agar anaknya itu kuat menghadapi penyakit yang sedang dialami.
“Mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah ni jadi lagi kuat untuk lawan penyakit ni,” jelasnya lagi.
Sumber: Facebook Ahmad Safiuddin