Siakap Keli
Hoki
Kredit Malaysian Hockey Confederation

Penyerang Sensasi Hoki Faizal Saari Cipta Sejarah, Bakal Bermain Untuk Kelab Belanda

Penyerang sensasi Hoki Faizal Saari bakal bermain untuk Kelab Belanda

Penyerang sensasi pasukan hoki negara Faizal Saari mencipta sejarah peribadi apabila menjadi pemain skuad kebangsaan pertama dipilih menyertai Liga Perdana Belanda (Hoffdklasse) bersama Kelab Hoki ZSV Schaerweijde.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, yang membuat pengumuman itu berkata, penyerang Pasukan Hoki Terengganu itu akan bermain dalam Liga Perdana Belanda selama 10 bulan mengikut kontrak oleh kelab itu.

Beliau berkata pasukan Schaerweijde di bawah pengurusan jurulatih Tom Drowly telah memilih Faisal untuk menyertai skuad itu memandangkan prestasi cemerlang pemain berusia 31 tahun itu.

Faizal akan menandatangani kontrak selama 10 bulan dengan pasukan Schaerweijde yang akan bermain dalam Liga Hoffdklasse di mana mereka baru dinaikkan daripada divisyen dua ke Liga Perdana Belanda.

Liga akan berakhir pada 10 November jadi Faizal akan kembali ke Malaysia pada 11 November untuk meneruskan latihan bersama pasukan kebangsaan di bawah jurulatij A. Arul Selvaraj dan akan bermain untuk Malaysia dalam Negara untuk Piala Kebangsaan ,” katanya kepada pemberita di Stadium Bukit Jalil Hoki Kebangsaan disini hari ini.

Ahmad Najmi berkata Faizal akan dibekalkan Global Positioning System (GPS) oleh jurulatih Arul Selvaraj bagi memantau prestasi pemain itu ketika beraksi dalam liga.

Dalam pada itu, Arul Selvaraj berkata langkah menghantar Faizal ke liga adalah unyuk memberi pendedahan kepada skuad negara peluang beraksi dalam liga berkualiti tinggi.

Arul Selvaraj berkata beliau turut terinspirasi daripada skuad Argentina yang memenangi Piala Dunia Hoki Remaja 2021 dan Sukan Olimpik Rio 2016, dengan 19 daripada 20 pemain dalam skuad itu bermain dalam Liga Belanda dan Belgium.

“Jadi ini adalah permulaan pertama menghantar pemain negara ke liga berkualiti seperti di Belanda, kami akan fokus semula tahun depan untuk menghantar lebih ramai pemain kerana kini semua kelab telah mendaftarkan pasukan mereka.

“Sekarang pun sudah ada kelab yang sedia menempatkan pemain kita di sana seperti dari segi kelengkapan dan persiapan,” katanya.

Sementara itu, walaupun menganggap tugas mewakili negara untuk bersaing dalam liga berprestij di Belanda itu sebagai tanggungjawab berat, Faizal berkata, dia tetap akan mencuba yang terbaik untuk memberikan persembahan terbaik.

“Di sana saya akan bermain pada tempo yang sangat tinggi, tetapi ia bagus untuk saya dan pasukan Malaysia, saya bersyukur dan sangat teruja untuk ke sana,” katanya.

Sumber: Bernama

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka