Siakap Keli
Ten hag tinggalkan MU
Gambar: AFP

Ten Hag Disaran Tinggalkan MU Lebih Awal Jika Permintaannya Tak Dipenuhi Keluarga Glazer

Ten Hag Mungkin Akan Tinggalkan MU Lebih Awal Jika Permintaannya Tak Dipenuhi Keluarga Glazer

Erik Ten Hag disaran melepaskan jawatan pengurus Manchester United lebih awal jika kelab itu tidak mendapatkan pemain yang menjadi sasarannya musim panas ini, lapor The Sun UK.

Bekas jurulatih Ajax Amsterdam itu masih belum mendapatkan sekurang-kurangnya tiga pemain sasaran iaitu Frankie de Jong, seorang pemain penyerang dan seorang pemain bek kanan.

Jika pemilik kelab itu tidak memberikannya pemain trio yang dimintanya, Ten Hag mungkin akan meninggalkan kelab tersebut lebih awal.

Tindakan itu kemudian dijangka akan mendedahkan belang sebenar pemilik kelab, keluarga Glazer dan akan mengeruhkan hubungan dengan peminat setia sekaligus akan memaksa mereka menjual kelab.

MU ketika ini dikatakan semakin hampir mendapatkan pemain Juventus, Adrien Rabiot, namun ia dikatakan bukan nama yang menjadi pilihan Ten Hag kerana MU boleh mendapatkannya sebelum ini, dua bulan lebih awal ketika namanya diletak dalam senarai untuk dijual oleh gergasi Seria A itu.

Strategi perpindahan United sekian lama menjadi tanda tanya sebelum kekalahan memalukan di tempat sendiri pada hari pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim baharu menentang Brighton membuatkan situasi menjadi semakin buruk.

Apa yang dilihat di atas padang adalah bukti kepada situasi terdesak MU untuk kempen liga kali ini.

Ten Hag ialah pengurus terbaru yang tidak mendapat sokongan yang mencukupi untuk mendapatkan pemain yang dimahukannya, salah satunya didakwa berpunca daripada campur tangan pemilik kelab.

Sembilan daripada 11 pemain utama yang turun menentang pasukan dibimbing Graham Potter hujung minggu lalu diwarisi daripada skuad Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick pada musim lepas. Ia menjadi petanda bahawa tidak banyak perubahan yang berlaku, selain kehadiran jurulatih hebat yang perlu bekerja keras untuk membawa semula kelab ke landasan sebenar.

Jika Ten Hag mengibarkan bendera putih, majoriti peminat mungkin tidak akan menyalahkannya.

Lembaga Pengarah kelab tersebut menyedari bahawa Paul Pogba, Nemanja Matic dan Jesse Lingard akan pergi meninggalkan kelab, namun tiada pelan yang jelas siapakah pemain yang akan dibeli untuk menggantikan ketiga-tiga nama tersebut.

Situasi ini juga menimbulkan persoalan tentang dana perpindahan yang sebenar yang boleh digunakan oleh Ten Hag.

MU merupakan sebuah kelab gergasi dan antara yang terkaya di dunia, jadi Ten Hag sepatutnya tidak perlu berdepan sebarang kesukaran untuk mendapatkan pemain yang dimahukannya, namun situasi semasa menunjukkan sebaliknya.

Jika pemilik kelab tidak memberi sokongan sepenuhnya sebelum jendela perpindahan musim panas ini tamat, Ten Hag disaran untuk mengemaskan beg dan menerima lamaran kelab-kelab besar Eropah yang lain.

Sumber: The Sun

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka