Siakap Keli
Ekonomi Malaysia Berkembang 8.9%
Gambar via Bernama

Ekonomi Malaysia Berkembang 8.9% Pada Suku Kedua, Kadar Terpantas Dalam Tempoh Setahun

Ekonomi di Malaysia berkembang dengan pantas didorong oleh lonjakan dalam penggunaan yang menyokong pemulihan sektor perkhidmatan dan pembuatan, sekaligus dapat meningkatkan skop bank pusat seterusnya dalam memberi tumpuan untuk memerangi inflasi. 

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pengeluaran dalam negara kasar (GDP) berkembang sebanyak 8.9% dalam tempoh April hingga Jun dari setahun yang lalu, mengatasi anggaran median 7% dalam tinjauan yang dibuat oleh Bloomberg

Output juga turut meningkat kepada 3.5% daripada suku pertama berbanding anggaran median pertumbuhan 1%. 

Dalam pada itu, ekonomi Malaysia diunjurkan akan terus berkembang bagi bulan-bulan yang akan datang pada tahun ini melihat dari pertumbuhan pada separuh pertama tahun 2022 sebanyak 6.9%. 

Mengulas tentang prospek tahun 2022, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah menjelaskan, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh walaupun pertumbuhan global ketika ini bergerak agak perlahan. 

“Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerja yang semakin pulih dan ketibaan pelancong yang lebih banyak serta pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun.

 “Walau bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia terus terdedah kepada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang lebih meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin buruk,” jelasnya. 

Manakala inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi untuk beberapa bulan akan datang. Keadaan ini berpunca sebahagiannya kesan asas daripada pemberian diskaun harga elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021.

”Inflasi teras diunjurkan berpurata lebih tinggi pada tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi.

”Tekanan menaik terhadap inflasi dijangka kekal dibendung sebahagiannya oleh langkah-langkah kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi,” menurut BNM lagi.

Walaubagaimanapun, prospek inflasi akan terus bergantung kepada risiko inflasi menjadi semakin tinggi berpunca daripada kekukuhan permintaan dalam negeri, perkembangan harga global dan langkah-langkah dasar dalam negeri.

BACA: Setahun Tak Bertemu, Pelajar Pondok Menangis Berdoa Siang Malam Minta Mak Ayah Datang Jenguk

BACA JUGA: Tetamu Terkejut Besar, Pengantin Lelaki Tayang Video Curang Bakal Isteri Dengan Abang Ipar Di Skrin Besar Masa Sanding

Sumber: BNM, Bloomberg

Faiz Mustafa