Siakap Keli
jalur gemilang
Gambar: BERNAMA

Bukan Sekadar Nama, Ini Maksud Sebenar ‘Jalur’ & ‘Gemilang’ Nama Bendera Malaysia

Ini Maksud Sebenar ‘Jalur’ & ‘Gemilang’ Nama Bendera Malaysia Yang Ramai Tak Tahu

Bendera merupakan lambang kedaulatan sesebuah negara dan menjadi sebuah perkenalan kepada negara luar. Bendera juga berkait rapat dengan semangat patriotik dalam jiwa rakyat demi mempertahankan maruah, bangsa dan agama.

Selain itu, ia juga menjadi lambang simbolik kepada kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sesebuah negara. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus menghormati dan mengibarkannya dengan rasa bangga dan sayang kepada negara.

Asal-usul bendera kita

Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja perkenan dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan terbuka untuk memilih reka bentuk bendera bagi negara yang bakal dibentuk pada Mei 1948.

Seramai 373 peserta telah mengambil bahagian dan pada 15 Novemver 1949, tiga reka bentuk berjaya sampai ke peringkat akhir dengan rekaan bendera oleh Encik Mohamed bin Hamzah (arkitek Jabatan Kerja Raya, Negeri Johor) telah dipilih sebagai pemenang.

Penciptaan Bendera Malaysia mengalami beberapa fasa perubahan 

Reka bentuk bendera itu kemudian telah mengalami beberapa pindaan. Bulan sabit dan bintang pada asalnya berwarna putih kemudian ditukar kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya dikibarkan pada 31 Ogos 1957 di padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku buat pertama kalinya.

Ia kemudian menerima pindaan kali kedua, dimana rekaan 11 jalur melintang berwarna merah dan putih telah bertambah menjadi 14 jalur bemula dengan jalur merah di bahagian atas dan berakhir dengan jalur putih di bahagian bawah. 14 jalur ditambah selepas kemasukan Sabah, Sarawak, dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Pada Ogos 1965, Singapura telah keluar dari Malaysia secara rasmi dan maksud 14 jalur dalam Bendera Malaysia telah ditukar. 13 jalur melambangkan 13 negeri dalam Malaysia dan 1 jalur melambangkan Kerajaan Persekutuan.

Setelah megah berkibar sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara. Tun Dr. Mahathir Mohammad selaku Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu telah mengumumkan nama baharu bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang.

Nama bendera ditukar ke Jalur Gemilang, ini maksudnya…

Jalur Bendera Malaysia adalah perlambangan satu haluan rakyat yang lurus, hala tuju dan arah yang sama diikuti oleh rakyat di negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara. Jalur Gemilang ini mewakili keanggotaan 13 buah negeri yang berada di negara ini, dengan satu jalur lagi mewakili Kerajaan Persekutuan.

Manakala perkataan ‘Gemilang’ pula membawa maksud cahaya terang benderang dan cemerlang. Ia juga melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu dalam menaikkan imej negara di dalam dan di luar negara.

Jadi, itulah maksud sebenar Jalur Gemilang. Ia bukan sekadar nama tetapi mempunyai pengertian yang jauh lebih mendalam yang perlu kita semua hayati.

Pada bulan Ogos ini, marilah kita bersama-sama menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mahupun premis syarikat anda bekerja. Bersatu hatilah kita menjadi rakyat yang berbangga dengan negara ini.

Sumber: Pejabat Perdana Menteri Majlis Keselamatan Negara

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka