Siakap Keli
bahagian pertama rukun negara
Gambar: BERNAMA

Selalu Dengar Lima Prinsip Je, Ini Bahagian Pertama Rukun Negara Mungkin Ramai Tak Pernah Dengar

Selalu Dengar Lima Prinsip Je, Ini Bahagian Pertama Rukun Negara Mungkin Ramai Tak Pernah Dengar

“Merdeka, Merdeka, Merdeka !”.

Laungan ini menjadi ayat keramat meniti di bibir-bibir umat manusia di Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama sejak 65 tahun yang lalu setiap kali tibanya tarikh 31 Ogos.

Selang beberapa minggu sahaja lagi, negara ini sekali lagi akan menyambut hari yang paling bermakna buat semua, Hari Kebangsaan atau Kemerdekaan yang disambut saban tahun sejak kali pertama Malaysia menyambutnya pada tahun 1957. 

Bercakap soal kemerdekaan, suka untuk Siakap Keli hari ini kongsikan beberapa fakta mengenai Rukun Negara yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Agong IV. 

Memetik Portal Maklumat Rakyat (PMR), Rukun Negara diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia dan ia dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. 

“Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia,” tulis PMR. 

Sebagaimana mana yang kita sedia maklum, Rukun Negara mempunyai Lima Prinsip yang sering dilafazkan setiap kali perhimpunan rasmi diadakan terutama di sekolah-sekolah kebangsaan. 

Lima Prinsip Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. 

Namun, tahukah anda sebenarnya terdapat satu lagi bahagian yang merupakan bahagian pertama dalam Rukun Negara mungkin ramai belum tahu.

Bahagian Pertama ini menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang perlu dibentuk. Manakala Bahagian Kedua pula menggariskan lima prinsip rukun yang kita selalu dengar sejak sekolah renda lagi.

Isi kandungan dalam Rukun Negara Bahagian Pertama adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara satu cara hidup demokratik dan mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama. 

Selain itu, Bahagian Pertama juga untuk mempunyai objektif membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak dan membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. 

Jadi, sempena sambutan kemerdekaan kali ini, adalah lebih molek kita sama-sama menghayati kedua-dua bahagian Rukun Negara ini demi kemakmuran dan keamanan negara tercinta.

Sumber: PMR

Faiz Mustafa