Siakap Keli

UNM Dan Hanai Jiwa Ibu Guna Aplikasi Digital Bantu Wanita Terpinggir Di Malaysia

Universiti dan Perusahaan Sosial Beri Tumpuan Kepada Aplikasi Rakan Kesihatan Wanita Untuk  Membantu Merapatkan Jurang Penjagaan Kesihatan 

Kuala Lumpur, 17 Ogos 2022 – Terdapat jurang yang besar dalam keupayaan mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan antara mereka yang tinggal di bandar dan luar bandar. Masyarakat  luar bandar mempunyai akses terhad kepada pusat dan profesional perubatan berkualiti, lantas  memaksa penduduk luar bandar pergi lebih jauh untuk mendapatkan penjagaan kesihatan  bermutu tinggi.

Kerumitan semasa hamil, keganasan rumah tangga, penderaan seksual dan  kesihatan mental hanyalah beberapa isu yang dihadapi oleh wanita di mana-mana, lebih-lebih lagi  mereka yang mempunyai akses terhad kepada sumber yang diperlukan.  

Untuk membolehkan lebih ramai orang mendapatkan kemudahan penjagaan kesihatan, University  of Nottingham Malaysia (UNM) dan Hanai Jiwa Ibu Sdn Bhd (Hanai Jiwa Ibu), sebuah perusahaan  sosial yang memberi tumpuan kepada keperluan penjagaan kesihatan wanita, telah berganding  bahu untuk membangunkan sebuah aplikasi yang dirangka untuk menambah baik penjagaan  kesihatan bagi kaum wanita yang terpinggir di seluruh negara.

Dalam tempoh tiga tahun lepas,  UNM dan Hanai Jiwa Ibu, bersama St George’s University London, Universiti Malaya dan Universiti  Malaysia Sabah, telah membangunkan aplikasi Jiwa Ibu, untuk menyediakan maklumat setempat  dan terkhusus berkenaan kesihatan mental, wanita, ibu dan kanak-kanak.  

UNM dan Hanai Jiwa Ibu baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk  merasmikan dan memeterai hubungan mereka sebelum melancarkan aplikasi kepada orang ramai secara rasminya. Kerjasama ini akan membolehkan UNM dan Hanai Jiwa Ibu untuk mendapatkan  hak cipta dan tanda dagang aplikasi, di samping menyusun rancangan untuk berganding bahu  dengan Selangkah, aplikasi penjagaan kesihatan Selangor, bagi menggabungkan Jiwa Ibu ke  dalam sistem. 

“Sudah sekian lama kami mahu beralih tumpuan kepada masyarakat luar bandar dan golongan terpinggir di Malaysia. Sejak idea tersebut diilhamkan, pasukan kami yang terdiri daripada lapan  wanita berdedikasi telah menubuhkan kumpulan fokus membabitkan para doktor, jururawat, bidan, jururawat komuniti dan wanita biasa, untuk menentukan apakah yang sebenarnya dimaksudkan  dengan tahap kesihatan wanita dan ibu yang ideal,” jelas Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) Hanai Jiwa Ibu, Shamala Hinrichsen.

“Matlamat kami bukan untuk menyelesaikan masalah  dunia, namun satu langkah kecil ke hadapan adalah lebih baik daripada langsung tiada langkah,”  tambah beliau.  

Pada 2019, pasukan ini mengunjungi Likas di Sabah, untuk melakukan ujian alfa bagi Jiwa Ibu,  dan mengukur tahap penerimaan aplikasi ini. Acara tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, YB Hannah Yeoh, yang  mengunjungi kaum wanita di sana untuk menyokong usaha pasukan ini.  

Sambil Hanai memainkan peranan sebagai pencipta perisian, UNM telah mengetuai kajian tentang tahap penerimaan Jiwa Ibu, serta kesan dan keberkesanan terhadap wanita dalam masyarakat  yang terbabit. UNM juga memberikan nasihat tentang kandungan aplikasi, dan faktor yang  mempengaruhi antara muka pengguna (UI) dan pengalaman pengguna (UX).  

“Aplikasi Jiwa Ibu dijangka membawa manfaat kepada 15 juta wanita di seluruh Malaysia. Pada  peringkat awal ujian alfa, aplikasi ini dimuat turun oleh 3,000 wanita, dengan 75% kembali  menggunakan aplikasi dalam masa sebulan selepas dimuat turun,” ujar Profesor Madya Pusat  Pengajian Media, Bahasa dan Kebudayaan, Dr Joanne Lim Bee Yin.

“Berasaskan tinjau selidik  dan temu bual yang kami jalankan, 95% responden juga berkongsi bahawa mereka mahukan aplikasi tersebut,” rumus beliau.  

Sebelum pelancaran, pasukan ini telah mengembara ke beberapa tempat di Sabah dan  Semenanjung Malaysia untuk memperkenalkan Jiwa Ibu kepada penduduk tempatan dan melatih  Juara Kesihatan Komuniti (CHC) setempat untuk mentadbir aplikasi di dalam masyarakat masing masing.  

Jiwa Ibu akan memuatkan direktori bagi doktor dan pusat penjagaan kesihatan di kawasan  berhampiran dan sumber penting lain, seperti kes menentang keganasan terhadap wanita.  Pengguna juga boleh menyimpan dan menjejak rekod kesihatan mereka sendiri dan mendapatkan  bantuan perubatan menerusi aplikasi. Dalam usaha untuk menjadikannya lebih mudah digunakan,  aplikasi ini akan disediakan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda lain.  

Naib Provos Penyelidikan dan Pertukaran Ilmu (RKE), Profesor Andy Chan Tak Yee, mewakili  UNM di majlis tandatangan tersebut, manakala Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO),  Shamala Hinrichsen menandatangani bagi pihak Hanai Jiwa Ibu. Profesor Madya Pusat Pengajian Media, Bahasa dan Kebudayaan, Dr Joanne Lim Bee Yin dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Hanai Jiwa Ibu, Viviane Sobral turut hadir di majlis tandatangan tersebut.  

Versi akhir aplikasi ini dijangka dilancarkan menjelang Oktober 2022. Untuk maklumat lanjut, sila  kunjungi https://hanaihealth.com/hanai-blog/2015/10/15/jiwa-ibu-evolution atau muat turun  aplikasi dalam versi semasa menerusi pautan Google Play Store di sini. 

Untuk pertanyaan media sila hubungi: Josephine Dionisappu, Pengurus PR dan Komunikasi  Universiti Nottingham Malaysia di j[email protected]

Amira

Love yourself.