Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Aku Tidak Pernah Tahu Dana RM42 Juta Itu Datang Daripada Syarikat SRC Secara Langsung Atau Tidak – Sumpah Laknat Najib
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan sumpah mubahalah menjelang prosiding rayuan akhir kes beliau di Mahkamah Rayuan Selasa ini.
Memetik laporan Astro Awani, Najib telah melafazkan sumpah tersebut di Masjid Kampung Baru selepas selesai solat hajat dan doa munajat pada malam tadi.
Menerusi lafaz sumpah tersebut, Najib mengulangi penafian bahawa terlibat dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC).
“Sejak aku diberikan amanah memimpin negara Malaysia sehingga kini aku tidak pernah, pertama, pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung.
“Kedua, aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkum apa-apa dana SRC bagi tujuan dana peribadi atau kegunaan keluarga.
“Ketiga, aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan pun,” katanya dalam lafaz sumpah tersebut.
Terdahulu, permohonan pasukan peguam baharu beliau yang meminta diberikan masa untuk membuat persiapan rayuan telah ditolak oleh panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Malah pada Khamis lalu, mahkamah turut menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan untuk membentangkan penghujahan.