Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selesema Tomato ataupun dikenali sebagai Demam Tomato telah dilaporkan di India sejak Mei. Kes-kes yang dilaporkan di Kerala dan Odisha telah mendorong kerajaan India untuk mengawal sempadan dan melaksanakan pengawasan dengan lebih ketat.
Menurut laporan, lebih daripada 80 kes Selesema Tomato yang telah dikenal pasti di India. Perkara ini mencetuskan kerisauan bagi pihak pentadbiran daerah dan kesihatan kerana ia menjangkiti kanak-kanak dalam lingkungan usia satu tahun sehingga sembilan tahun.
Kini, kami akan memberitahu anda beberapa perkara penting mengenai penyakit ini supaya anda dan keluarga anda, terutamanya ahli yang lebih muda, kekal selamat.

Selesema Tomato merupakan satu penyakit yang jarang didengari dan menjadi tular dalam kalangan masyarakat global baru-baru ini. Penghidap penyakit ini akan mengalami ruam-ruam merah, kegatalan pada kulit dan kekurangan kandungan air dalam badan.
Menariknya, penyakit ini tidak ada kena mengena dengan buah tomato secara langsung tetapi nama penyakit tersebut diambil bersempena warna lepuh (blisters) yang seakan-akan warna buah tersebut.

Penyakit ini merupakan sebahagian daripada penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Sampai sekarang, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah dalam kalangan kanak-kanak berusia satu sehingga sembilan tahun.
Penyakit ini jarang menjangkiti golongan dewasa kerana biasanya mereka mempunyai sistem imunisasi yang cukup kuat untuk melindungi mereka daripada dijangkiti virus tersebut.
Penyakit ini memiliki beberapa gejala seperti demam, sakit tekak, terdapat ruam pada tangan, kaki dan punggung. Penghidap penyakit ini juga akan mengalami rasa sakit pada badan mereka, tidak sedap badan, keletihan dan kegatalan pada kulit. Selain itu, penyakit ini juga boleh mengurangkan kandungan air dalam badan (dehidrasi) dan sakit perut.

Walaupun beberapa simptomnya kelihatan mirip dengan COVID-19, penyakit ini tidak memiliki hubungkait dengan COVID-19. Simptom-simptom ini juga biasanya kelihatan pada jangkitan virus yang lain.
Tiada ubat khusus untuk merawat jangkitan virus ini dalam masa terdekat. Jika seseorang dijangkiti penyakit ini, mereka perlu diasingkan kerana penyakit ini sangat mudah merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain. Sesiapa yang dijangkiti penyakit ini perlu mengasingkan diri selama lima sehingga tujuh hari.
Rawatan untuk penyakit ini adalah mirip dengan chikungunya ataupun denggi, memandangkan penyakit-penyakit ini memiliki simptom yang hampir sama. Pesakit perlu minum air yang banyak dan menekapkan span basah yang suam ke atas permukaan kulit untuk meredakan ruam.

Pensanitasian dan persekitaran yang bersih adalah satu kemestian untuk menghalang jangkitan Selesema Tomato. Kanak-kanak yang dijangkiti perlu diasingkan dan menghalang mereka daripada berkongsi makanan, mainan, pakaian dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kanak-kanak yang lain. Ibu bapa dan penjaga juga perlu menegah kanak-kanak yang dijangkiti ini daripada menyentuh ataupun menggaru lepuh pada kulit mereka.
Sebelum ini, Siakap Keli melaporkan mengenai permakluman amaran wabak ini di India. Artikel ini juga melaporkan bahawa kemunculan penyakit ini mencetuskan amaran di negeri jiran iaitu di Tamil Nadu dan Karnataka.

BACA JUGA: Doktor Beri Amaran, Virus Baharu Dikenali Sebagai ‘Selesema Tomato’ Kini Menular Di India
Sumber: India TV