Siakap Keli
sosikjwa korea

‘Sosikjwa’, Trend Makan Sikit Jadi Trending, Nak ‘Lawan’ Cara Makan Mukbang

Selepas “trend” Mukbang, kini Sosikjwa pula melanda Korea Selatan

Mukbang adalah satu istilah dari bahasa Korea yang membawa maksud mengamalkan pemakanan dalam porsi yang besar. Istilah mukbang ini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana rata-rata semua sudah sedia maklum dengan penggunaanya. Malahan perkataan Mukbang itu sendiri telah dimasukkan ke dalam Kamus Oxford English pada tahun 2021.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, “trend” semakin menjadi ikutan ramai orang di seluruh dunia. Malah ada yang melakukannya di depan kamera secara “Live” dan disajikan babak-babak makan sangat banyak kepada penonton. Buka sahaja Youtube, keberangkalian untuk anda bertemu dengan saluran-saluran berkonsepkan Mukbang adalah tinggi.

Namun begitu, ramai yang mendakwa “trend” ini tidak mempunyai manfaat dan memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka yang terjebak.

Seperti yang anda lihat, mereka yang terjebak dengan Mukbang cenderung untuk memilih makanan yang tidak sihat yang tinggi kandungan lemak, garam, gula dan berminyak. Ia boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kencing manis serta obesiti.

Justeru, kini muncul satu trend baru, diberi nama sosikjwa yang secara umumnya ditafsir sebagai perbuatan memakan makanan pada kuantiti minimum. Ia kelihatan berlawanan dengan trend mukbang.

Sosikjwa berasal daripada gabungan perkataan ‘sosik’ yang diterjemahkan sebagai mengambil makanan pada jumlah kecil, dan ‘jwa’ pula bermaksud “raja”. Jadi sosikjwa bermaksud raja yang makan sedikit.

Trend berkenaan dipercayai baharu sahaja muncul dan dipopularkan oleh saluran YouTube, Unnies without Appetite. Dalam salah satu video yang dimuat naik pada Julai, ia turut menampilkan seorang selebriti terkenal Korea Selatan, Sandra Park dan pengacara Park So-hyun.

Park dalam klip itu berkongsi, dia mampu bertahan dengan hanya meminum dua vanilla latte setiap hari dan tidak mengambil apa-apa makanan yang lain. Manakala Sandra pula mendedahkan dia boleh hidup seperti biasa dengan hanya memakan dua biji pisang sehari.

“Semua orang tertarik untuk makan makanan yang enak. Yang penting, Mukbang bukan makan banyak tapi makan sepuasnya. Itulah tujuan keseluruhan dari acara ini, untuk menunjukkan sosikjwa juga menikmati makanan mereka,” kata produser program itu, Shim Cheong.

Dalam video sosikjwa yang lain, seoarang wanita mendedahkan bahawa dia memerlukan beberapa hari untuk menghabiskan seketul ayam.

Lim Myung-ho, seorang profesor psikologi di Universiti Dankook, mengatakan generasi muda lebih sedar tentang persekitaran berbanding generasi yang berumur.

“Masyarakat lebih mengutamakan kesihatan daripada memakan makanan sebarangan. Makan sihat dan kawal jumlah porsi sangat penting untuk menjaga kesihatan yang lebih baik,” katanya.

Justeru, kita sebagai manusia perlu menjaga kesihatan dengan mengamalkan gaya pemakanan yang sihat. Makan dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan pelbagai masalah penyakit seperti obesiti dan kolestrol berlebihan.

Sumber: CNBC Indonesia

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka