Siakap Keli
datuk lee chong wei
Gambar: Lee Chong Wei/Firstpost via Google

45 Tahun Menunggu Juara: “Sejarah Sudah Dibetulkan” – Datuk Lee Chong Wei

Selama 45 tahun Malaysia menunggu masa tepat untuk bergelar juara dunia, jagoan Malaysia Datuk Lee Chong Wei membuat ulasan ringkas ‘sejarah sudah dibetulkan’.

Bekas pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan kemenangan Malaysia dalam Kejohanan Badminton Dunia 2022 sebentar tadi merupakan ‘sejarah yang sudah dibetulkan’.

Menurut pemain badminton negara itu, sebelum ini Malaysia sudah beberapa kali cuba menggenggam kejuaraan itu dalam perlawanan-perlawanan yang berlangsung namun ‘tiada rezeki’.

Kata Lee Chong Wei, sejak kali pertama kejohanan itu diadakan, kesemua negara yang menyertai pernah menjuarai pertandingan itu kecuali Malaysia.

datuk lee chong wei
Gambar: Facebook Lee Chong Wei

“Sejak tahun 1977, Malaysia telah pun beberapa kali nyaris-nyaris merangkul emas tetapi tidak kesampaian.

“Peliknya, 11 negara sudah pun digelar juara tetapi bukan Malaysia. Percaya tak Sweden, USA dan Singapura dah pernah juara, tapi bukan negara kita,” maklum Lee Chong Wei dalam satu perkongsian di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, penantian itu akhirnya terlerai apabila pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik berjaya mencipta sejarah baharu buat Malaysia.

“Tapi hari ini, sejarah telah pun dibetulkan..Aaron Chia Teng Fong and Soh Wooi Yik mempamerkan aksi yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Terima kasih,” katanya lagi dalam kenyataan itu.

datuk lee chong wei
Gambar: Facebook Lee Chong Wei

Sehubungan itu, kejayaan tersebut juga amat bermakna kerana Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65 pada 31 Ogos tidak lama lagi.

Sementara itu, sewaktu penyampaian hadiah dan lagu Negaraku berkumandang, beliau sempat membuat panggilan video, Facetime bersama anak-anaknya untuk berkongsi detik-detik bersejarah itu.

“Kingston Terrance, training la betul betul. Satu hari nanti harap korang pon boleh naik pentas jugak,” katanya.

Namun anaknya ‘selamba’ menjawab, “Betul, kita main doubles (beregu). Haha. Papa kurang pandai, tak pilih main doubles..” berseloroh.

‘Terduduk’ mendengar jawapan anak, maka Lee Chong Wei pun berkata, “Saya mula melangkah ke satu sudut bilik..bilik yang kegelapan..” dengan nada bergurau.

Lee Chong Wei juga berharap agar kejayaan itu menjadi putik-putik semangat buat anaknya untuk membanggakan Malaysia di persada dunia sama sepertinya suatu ketika dahulu.

Keratan laporan Siakap Keli

Imbas kembali, memetik laporan Siakap Keli tadi, Aaron Chia & Soh Wooi Yik muncul juara dunia selepas menumpaskan Indonesia dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF hari ini.

Pasangan tersebut muncul juara selepas menewaskan beregu dari Indonesia, Mohammad Ahsan & Hendra Setiawan dengan mata 21-19 dan 21-14 sebentar tadi.

Dalam set pertama, beregu dari Indonesia, Mohammad Ahsan & Hendra Setiawan tampak memberikan saingan sengit dengan pertukaran mata demi mata dengan wakil beregu negara.

Bagaimanapun, Aaron Chia & Soh Woon Yik tampil memberi aksi yang lebih bertenaga untuk menyelesaikan set pertama dengan skor 21-19.

Berlangsung set kedua, beregu negara langsung tidak memberi muka kepada beregu dari negara jiran itu dengan menang mudah 21-14.

Kemenangan dua set berturut-turut itu sekaligus mengesahkan kejuaraan milik beregu lelaki negara.

Sumber: Facebook Lee Chong Wei

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?