Siakap Keli
nasa lancar roket ke bulan
Gambar: NASA via CBS News

NASA Lancar Roket Gergasi Malam Ini, Hantar Kapsul Ke Bulan Untuk Misi ‘Masa Depan’

NASA lancar roket gergasi baharu mereka malam ini, hantar kapsul khas ke Bulan untuk persediaan misi pada masa depan.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) bersiap-sedia melancarkan roket gergasinya, Artemis 1 ke Bulan pada sekitar pukul 8 malam ini, menurut CBS News.

Menurut CBS News, roket gergasi tersebut akan menghantar satu kapsul tanpa penumpang yang dinamakan sebagai Orion untuk mengelilingi orbit Bulan selama 42 hari.

Difahamkan, tujuan Artemis 1 yang membawa Orion dilepaskan ke Bulan adalah sebagai ‘penanda aras’ bagi misi-misi angkasawan seterusnya untuk ke Marikh pada masa akan datang.

Gambar hiasan | NASA via CBS News

Persediaan misi masa depan

“Secara umumnya, angkasawan Artemis akan menjalankan penerokaan dan penyelidikan lanjutan untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal usul dan evolusi Bulan.

“(Ia juga) serta menguji perkakasan dan prosedur yang diperlukan sebelum menghantar angkasawan ke Marikh.

“Keutamaan terbesar misi tersebut adalah memastikan perisai haba pada kapsul berkeluasan 16.6 kaki itu dapat bertahan daripada kepanasan 5,000 darjah bagi melindungi angkasawan pada misi-misi akan datang,” memetik CBS News.

Tidak hanya itu, angkasawan pada misi akan datang juga mungkin boleh ‘melombong’ ais (di angkasa), menukarkannya kepada udara, air dan juga bahan api roket bagi menjimatkan kos penerokaan angkasa lepas.

Kredit: Getty Images

Kapsul Orion berspesifikasi tinggi, sedia kelilingi orbit Bulan

Difahamkan, Artemis 1 akan dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, US dan mendarat di kutub selatan Bulan sebelum Orion dilepaskan untuk mengelilingi orbit ‘satelit semulajadi’ Bumi itu.

Menurut laporan, setelah selesai ‘tugasannya’, Orion dijangka akan kembali semula ke atmosfera Bumi pada 10 Oktober depan dengan kadar kelajuan kira-kira 40,234 kilometer sejam.

Sementara itu, salah seorang pegawai tadbir NASA, Bob Cabana berkata, kapsul Orion yang bakal bertugas ‘bersendirian’ tanpa ‘pemandu’ itu sudah bersedia untuk menerima apa-apa risiko.

“Kami telah menganalisis segala risiko yang dimiliki  dan mengurangkan kesan buruknya sebaik mungkin.

“Akan tetapi, kami menekankan bahawa spesifikasi Orion adalah melebihi apa yang diperlukan untuk  menghantarnya ke Bulan bersama-sama anak kapal,” katanya, memetik CBS News.

Dalam pada itu, difahamkan NASA merancang untuk mengikuti misi Artemis 1 dengan melancarkan empat angkasawan dalam misi mengelilingi Bulan pada 2024 kelak.

Gambar: NASA via CBS News

Bagaimanapun, agensi angkasa itu perlu membuktikan bahawa roket dan kapsul yang diuji dalam misi pelancaran Artemis 1 pada kali ini berjalan lancar seperti yang dirancang.

Sementara itu, NASA dalam satu kenyataan pada Ahad memberitahu, kiraan detik ‘countdown‘ pelepasan roket akan berlangsung dengan baik berdasarkan ramalan cuaca pada hari ini.

Suasana ini telah mencetuskan minat dan perhatian ribuan pekerja pusat angkasa, penduduk kawasan sekitar dan pelancong untuk menyaksikannya sendiri di depan mata sendiri.

Seterusnya, terdapat satu cara bagaimana orang awam boleh menyaksikan pelancaran misi tersebut iaitu menerusi siaran langsung CBS News melalui pautan ini.

Orang awam boleh menyaksikan detik-detik pelancaran Artemis 1 menerusi siaran langsung atas talian bagi saluran CBS News pada waktu seperti yang dinyatakan.

Sumber: CBS News

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma