Siakap Keli
Kucing Peliharaan Dibaham Ular Sawa
Gambar : The Straits Times

“Dia Kucing Yang Sangat Baik,” Wanita Sedih Kucing Peliharaan Dibaham Ular Sawa

“Dia Kucing Yang Sangat Baik,” Wanita Sedih Kucing Peliharaan Dibaham Ular Sawa

SINGAPURA – Seekor ular sawa besar dilapor menelan seekor kucing peliharaan yang berkeliaran di pekarangan kondominium rumah pemiliknya di Tanah Merah.

Angel Low, 28, bimbang apabila kucingnya, Ben, tidak pulang ke rumah pada malam Isnin, selepas dia mengetahui seekor ular sawa besar telah ditangkap pada hari tersebut.

“Ben selalunya pulang apabila ibu saya memanggilnya. Kami mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila melihat perut ular sawa itu dalam video yang dikongsi penduduk lain dan segera menghubungi Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (Acres), yang telah menangkap ular itu, ” kata Low.

Ben yang berusia tiga tahun itu mempunyai berat kira-kira 6kg, katanya.

Gambar : The Straits Times

Keesokan harinya mereka mendapati bahawa ular sawa itu telah memuntahkan bangkai Ben semasa dipindahkan ke Zoo Singapura tetapi sudah terlambat untuk mengambilnya kerana telah dibuang oleh kakitangan.

“Saya harap mereka menjadi lebih sensitif dalam mengendalikan isu ini… terutamanya apabila kucing saya mempunyai kolar,” kata Low, yang merasakan bahawa kakitangan boleh mengetahui sama ada kucing itu milik seseorang.

Menurut Mandai Wildlife Group dan Acres, ular sawa itu dibawa ke hospital haiwan yang merupakan pusat pemprosesan semua ular sawa yang diselamatkan di Singapura.

Dalam perjalanan ke hospital, ular itu memuntahkan bangkai kucing dan apabila diimbas di hospital, bangkai itu tidak mempunyai mikrocip yang menunjukkan asalnya, lapor mereka.

“Acres membuat panggilan kepada pegawai keselamatan untuk memberikan maklumat terkini dan dimaklumkan bahawa tiada laporan kehilangan kucing telah dibuat sehingga itu. Selepas perbincangan antara kedua-dua organisasi, mayat itu dilupuskan dengan teliti, mengikut protokol standard biosekuriti zoo,” tambah mereka.

Susulan kejadian itu, jabatan veterinar di Kumpulan Hidupan Liar Mandai sedang mengkaji proses untuk menyimpan sementara haiwan peliharaan yang mati dibawa ke hospital, kata mereka.

Gambar : The Straits Times

Menurut Low, itu merupakan kali pertama dia melihat seekor ular di situ dan terkejut melihatnya kerana kondominium itu tidak berdekatan dengan mana-mana kawasan hutan.

“Ibu saya sangat sedih kerana dia sangat rapat dengan Ben, yang kami ada sejak dia berumur seminggu. Dia adalah kucing yang sangat baik yang tidak akan menyakiti sesiapa dan akan memeluk kami apabila kami sedih.”

“Setiap kali kami memikirkan apa yang berlaku, kami masih menangis,” tambahnya.

“Ben suka berjemur jadi kami membenarkannya berkeliaran di perkarangan,” katanya sambil menambah kucing itu akan pulang sendiri.

Selepas kejadian itu, mereka lebih berwaspada dengan keberadaan anjing dan dua lagi kucing peliharaan mereka.

Ular sawa retikulasi, yang berasal dari Singapura, boleh membesar sehingga 10m dan memakan mamalia daripada tikus hingga rusa, menurut laman web Lembaga Taman Negara (NParks).

Ular sawa retikulasi kerap dikesan di longkang bandar dan memainkan peranan penting dalam mengawal populasi tikus, kata Encik Sankar Ananthanarayanan, Presiden Persatuan Herpetologi Singapura.

Dia menambah: “Hati kami tertuju kepada keluarga kucing itu, dan kami sangat berharap mereka redha daripada kejadian ini.

“Haiwan ini tidak membawa apa-apa bahaya kepada kita. Adalah dinasihatkan untuk tidak membiarkan haiwan peliharaan di luar rumah tanpa diawasi. Secara amnya, jaga jarak yang selamat dari hidupan liar.”

Kata Ketua Eksekutif bersama Acres Kalai Vanan Balakrishnan: “Walaupun kejadian ular yang memangsa haiwan peliharaan seperti itu bukan perkara biasa, kita hidup dalam persekitaran yang semakin bersepadu yang mungkin mengakibatkan lebih banyak pertemuan hidupan liar.

“Adalah dinasihatkan untuk mengawasi haiwan peliharaan ketika berada di luar rumah dan menggunakan tali jika boleh atau simpan haiwan peliharaan dengan selamat di dalam rumah untuk kesejahteraan haiwan peliharaan dan hidupan liar lain seperti ular.”

Orang ramai yang terserempak dengan ular di kawasan awam atau di rumah mereka harus menghubungi Pusat Tindak Balas Haiwan 24 jam NParks di 1800-476-1600.

Sumber : The Straits Times

Anis Annisa