Siakap Keli
ini maksud prima facie
Gambar: Google

Sering Disebut Dalam Kes Jenayah, Ini Maksud Prima Facie

Sering Disebut Dalam Kes Jenayah, Ini Maksud Prima Facie

Mahkamah ‘menyimpan’ seribu satu kisah berkaitan pelbagai kes jenayah yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Sebagai orang awam, kita hanya akan mengetahui mengenai butiran kes-kes tertentu melalui laporan media sahaja.

Sudah semestinya banyak istilah-istilah perundangan yang digunakan dalam laporan tersebut termasuk prima facie. Lazimnya, mahkamah sama ada akan berkata pihak pendakwaan gagal atau berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pun begitu, apakah maksud sebenar prima facie dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada tertuduh?

Untuk pengetahuan anda, prima facie dalam bahasa Latin bermaksud pada pandangan pertama (on its first appearance).

Menurut AskLegal, dalam amalan undang-undang, apa yang membuktikan kes prima facie adalah apabila pihak pendakwa berjaya mengemukakan bukti bagi membuktikan wujudnya kesalahan yang dilakukan tertuduh.

Sesuatu kes pendakwaan akan bermula apabila tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.

Kemudian, ia diikuti dengan kes pembelaan jika pendakwa berjaya meyakinkan hakim bahawa tertuduh bersalah dan adanya prima facie.

Gambar: Google

Kedua-dua kes pendakwaan dan pembelaan itu pula akan beralih ke penghakiman akhir di mana hakim akan memutuskan sama ada tertuduh bersalah atau tidak.

Kes pendakwaan adalah apabila pendakwa raya mengambil tempatnya, bercakap dan mengemukakan kes pendakwaan terhadap tertuduh.

Mereka perlu memastikan semua bukti ada untuk membuktikan setiap unsur kesalahan yang didakwa pada tertuduh.

Pembuktian prima facie oleh pendakwa

Difahamkan, dalam perbicaraan jenayah, tertuduh hanya akan dapat peluang untuk bercakap sekiranya hakim membuat keputusan bahawa pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie.

Jika pihak pendakwa gagal membuktikannya, maka hakim tidak akan membenarkan tertuduh masuk untuk membela diri. Kegagalan membuktikan prima facie juga membolehkan hakim untuk membebaskan tertuduh.

Pun begitu, jika hakim berpuas hati dengan pihak pendakwa dalam mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh, maka tertuduh diarahkan untuk membela diri.

Sementara itu, dalam kes pembelaan pula, pihak pembela akan mengetengahkan ruang-ruang kelemahan dalam kes pendakwaan untuk mewujudkan keraguan munasabah.

Keraguan munasabah itu penting dalam pembelaan kerana untuk mensabitkan tertuduh dengan sesuatu jenayah, hakim perlu yakin di luar keraguan munasabah bahawa tertuduh yang melakukan jenayah itu.

Jika pembelaan kes tidak menimbulkan keraguan munasabah dalam fikiran hakim, ini bermakna kes prima facie pendakwaan berjaya dan tertuduh gagal menjelaskan kenapa pihak pendakwaan ada bukti mengaitkannya dengan setiap unsur jenayah.

Sumber: AskLegal

Sofea

There's always another side to every story