Siakap Keli
sifat telus cegah rasuah
Credit: Gambar Fail Astro Awani

Terap Sifat Telus, Elak ‘Aktiviti Gelap’ Swasta-Awam – Azam Baki

Sifat telus ketika melakukan proses penilaian bekalan, peruntukan belanjawan dan pengauditan, tawaran dan tender terbuka, pelaksanaan kontrak sehingga pengauditan perlu diterapkan dalam usaha mencegah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menegaskan, birokrasi melampau akan menyumbang kepada aktiviti gelap antara swasta dan pegawai awam ekoran ketiadaan ketelusan dalam proses perolehan kerajaan.

“Jenayah kewangan masih berleluasa dan menyumbang kepada aktiviti haram yang berterusan seperti isu alam sekitar serta ketirisan dalam perolehan kerajaan untuk pembangunan negara,” katanya, memetik AWANI baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pelanggaran undang-undang yang dilakukan akan menyebabkan keselamatan negara terancam yang memberi impak kepada pembangunan ekonomi serta alam sekitar.

“Jenayah kewangan dan rasuah boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, pembangunan ekonomi yang stabil, kelestarian alam sekitar, promosi tenaga boleh diperbaharui, usaha mencegah perubahan iklim dan matlamat mampan untuk menamatkan kebuluran dan kemiskinan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM turut menghadapi pelbagai cabaran dalam memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan dan pihaknya turut menggunakan gabungan perisikan secara berkesan dalam memastikan penyiasatan berjaya.

“Kerja keras SPRM untuk menyiasat kes-kes rumit, mendapatkan semula aset negara serta membantu dalam pendakwaan telah membuahkan hasil malah tanggungjawab itu masih diteruskan.

“Sebagai orang yang menjaga integriti, tadbir urus yang baik dan antirasuah, kita perlu berdiri teguh di samping keazaman yang sempurna dan ketabahan dalam menegakkan amanah dan tanggungjawab tidak kira apa pun cabaran yang kita hadapi tanpa rasa takut atau pilih kasih,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana