Panjang Umur, Lelaki Hanyut 11 Hari Dalam Peti Sejuk Berjaya Diselamatkan
BRAZIL – Seorang nelayan berjaya diselamatkan selepas 11 hari hanyut dalam peti sejuk beku akibat bot yang dinaiki karam di Atlantik, lapor Daily Mail.
Romualdo Macedo Rodrigues, 44, meninggalkan Oiapoque, negeri Amapa, utara Brazil pada akhir Julai dengan menaiki bot kayu sepanjang kira-kira tujuh meter (23 kaki) untuk pergi ke Ilet la Mere.
Menurut media Brazil, dia merancang untuk memancing selama beberapa hari tetapi botnya mula karam semasa dalam perjalanan.
Dalam usaha untuk terus hidup, lelaki itu memanjat ke dalam peti sejuk yang ada di atas botnya.

Rodrigues hanyut tanpa makanan atau air dan dipercayai kehilangan kira-kira lima kilogram beratnya selama 11 hari itu.
Dia berkata: “Apa yang paling merisaukan saya ialah kehausan. Peti ais ini, bagi saya, adalah Tuhan. Keajaiban.”
Rakaman yang dirakam pada 11 Ogos memaparkan detik dia diselamatkan dalam keadaan keletihan dan tersadung ke atas lantai sebuah kapal nelayan Suriname, 450 kilometer (280 batu) dari tempat botnya karam.
Dia yang dalam keadaan dehidrasi, hilang arah, pakaian yang koyak dan terdedah kepada sinar matahari merayu kepada penyelamat untuk minum dan mereka memberinya air dan bubur.

Dia menceritakan pengalaman mengerikan itu kepada media tempatan dan berkata, “Saya fikir saya akan diserang oleh jerung kerana terdapat banyak ikan yang berada di laut itu.”
“Saya terdengar bunyi bising dan terdapat sebuah bot di atas peti sejuk.”
“Mereka sangka tiada sesiapa di sana. Kemudian mereka perlahan-lahan mendekati, penglihatan saya semakin pudar, dan kemudian saya berkata, ‘Ya Tuhanku, perahu’. Saya angkat tangan dan minta tolong.”

Pegawai polis Luis Carlos Porto berkata: “Dia sangat kurus, lemah, tetapi masih lagi bersemangat. Luka di badannya, yang berkaitan dengan matahari, sudah jauh lebih baik.
“Dia berkata dia mengalami masalah penglihatan kerana haba yang berlebihan, garam, dan cahaya, tetapi dia sangat tenang dan dalam keadaan sihat.”
Pun begitu, mimpi ngeri Romualdo belum lagi berakhir. Selepas bot itu kembali ke pantai dia diberikan pertolongan cemas terlebih dahulu sebelum ditahan di Suriname kerana tidak mempunyai dokumen sah.
Dilaporkan bahawa dia kemudian menghabiskan 16 hari di penjara di Paramaribo.
Mimpi ngerinya berakhir apabila dia akhirnya berjaya pulang ke negara asalnya menaiki pesawat yang mendarat di Belem, negeri Para, juga di utara Brazil.
Terlalu gembira, Romualdo menyifatkan ia sebagai ‘hari terpenting’ dalam hidupnya dan berkata: ‘Saya dilahirkan semula.
Sumber : Daily Mail
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”