Siakap Keli
Bakar Kereta & Bina Tembok Kurung Diri Sendiri
Gambar: Utusan TV

Warga Emas Bakar Kereta & Bina Tembok Kurung Diri Sendiri, Dipercayai Ada Masalah Mental

Warga Emas Bakar Kereta & Bina Tembok Kurung Diri Sendiri, Dipercayai Ada Masalah Mental

Seorang warga emas dilaporkan bertindak membakar kereta milknya sebelum mengurungkan diri di dalam rumah dengan membina tembok simen, dalam kejadian di Jalan Cengal Selatan, Taman Setapak kelmarin.

Menurut Utusan TV, warga emas itu bertindak sedemikian kerana mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kejadian itu daripada jiran warga emas tersebut.

“Jiran suspek terlihat aksi suspek membakar kereta sebelum bertindak menghubungi polis.

“Malah warga emas terbabit juga masuk ke dalam rumah sebelum memasang simen di hadapan pintu,” katanya.

Menurutnya, suspek juga pernah mengunci dirinya dengan memasang 20 mangga rumah sebelum ini.

Beliau juga menafikan bahawa kejadian terbabit berpunca daripada perbuatan khianat.

Sementara itu, suspek telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Di samping itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setapak telah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis.

“Bomba tiba 13 minit kemudian dan pihak polis meminta bantuan untuk memotong mangga pintu,” katanya.

Sumber: Utusan TV

Sofea

There's always another side to every story