Siakap Keli
penyampai berita alami strok
Gambar: petikan video Daily Mail

Penyampai Berita Alami Strok Semasa ‘Live’, Hilang Kata-kata

Seorang penyampai berita di Oklahoma, US mengalami strok semasa bersiaran langsung pada pagi Sabtu baru-baru ini, menyebabkan dia ‘hilang kata-kata’ dan memaksa siaran itu dipendekkan.

Pada awalnya, penyampai berita stesen tv KJRH itu, Julie Chin yang bergabung dengan NBC sedang menyampaikan berita tentang pembatalan pelancaran roket Artemis-I milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

Bagaimanapun penyampaiannya terganggu apabila mulutnya secara tiba-tiba tidak dapat menuturkan teks skrip berita yang terpapar dari skrin teleprompter di depannya.

Dalam keadaan gagap dan kebingungan, Chin cuba meneruskan penyampaiannya itu, tetapi tidak lama kemudian dia tidak dapat membaca skripnya dengan kuat dan jelas.

“Saya minta maaf atas apa yang berlaku dengan saya pada pagi ini dan saya memohon maaf kepada semua,” katanya sebelum memberikan skrip dan menyerahkan siaran langsung kepada rakan setugas ahli meteorologi, Annie Brown.

Brown kemudian mengambil alih siaran itu selepas Chin mengucapkan permohonan maaf.

Difahamkan, penyampai berita itu dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas panggilan kecemasan 911 dibuat oleh pihak produksi.

‘Permulaan strok’ – doktor

Bagaimanapun pada Ahad keesokannya, Chin menerusi laman Facebook menjelaskan bahawa dia berada dalam keadaan sihat, sementara doktor percaya dia mengalami permulaan strok tetapi bukan strok sepenuhnya.

Dalam masa sama,  menjelaskan dia berasa sihat sebelum siaran itu berlangsung, tetapi keadaannya merosot secara tiba-tiba.

“Kejadian itu berlaku dengan tiba-tiba, saya berasa sihat sebelum memulakan siaran kami. Namun, dalam tempoh beberapa minit kemudian saya berasa perkara pelik mula berlaku.

“Pertama, saya kehilangan penglihatan sebelah mata saya. Tidak lama kemudian tangan dan lengan saya pula menjadi kebas,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Mengulas lanjut, tambah Chin, semasa kejadian itu dia menghadapi masalah apabila mulutnya mula tidak dapat bercakap dengan betul di hadapan teleprompter.

Walaupun pertuturannya terjejas, dia cuba meneruskan siaran langsung itu tetapi gagal kerana dirinya ‘kehilangan kata-kata’.

Dia juga berterima kasih kepada beberapa rakan sekerjanya yang menyedari kesulitan yang berlaku kepadanya ketika itu.

Sebelum itu ketika masih menjalani beberapa ujian di hospital, Chin merancang untuk kembali bersiaran di kaca tv semula dalam masa beberapa hari akan datang.

Sumber: Daily Mail 

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka