Siakap Keli
hukuman pornografi kanak-kanak
Gambar: Freepik/Mufarwa Farid

Pornografi Kanak-Kanak: Awas, Penjara ‘Menanti’ Kalau Buat 3 Benda Ni – Peguam

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Menonton bahan-bahan pornografi, tidak mengira apa-apa bentuk sekali pun merupakan satu perbuatan yang tidak wajar. Perkara ini boleh mencetuskan rasa ketagihan dan membina satu tabiat buruk dalam kehidupan kita.

Menurut sebuah kajian yang  dijalankan oleh Cambridge University pada tahun 2013, mereka mendapati bahawa otak seseorang yang gemar menonton pornografi adalah hampir sama dengan penagih dadah.

Individu yang kerap menonton video lucah cenderung mempunyai minda yang kotor kerana terlalu asyik berfantasi mengenai seks hingga menyebabkan mereka hilang fokus ketika melakukan apa-apa perkara.

Golongan ini juga paling berisiko untuk terjebak dalam jenayah seksual seperti rogol, mencabul kehormatan dan sebagainya. Industri yang bersifat kotor juga mengeksploitasi segelintir golongan termasuklah kanak-kanak bawah umur.

Kebiasaannya, manusia suka melihat kanak-kanak disebabkan gelagatnya yang lucu, kecomelan wajah mereka dan golongan ini juga sinonim dengan simbolik kain putih, iaitu bersih dan suci.

Akan tetapi, tidak dinafikan ada sesetengah kanak-kanak terjebak dalam kancah pornografi – diri mereka difilemkan dari lensa kamera – dan video mereka yang tersebar secara berleluasa menjadi indikator untuk golongan pedofilia semakin agresif.

Gambar hiasan | Kredit: The Independent

Lebih mengerikan, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat pada baru-baru ini melaporkan sejumlah 106, 764 alamat IP yang berdaftar di Malaysia membuat perkongsian pornografi kanak-kanak dari 2017 hingga Ogos 2022.

Perkara ini sangat merisaukan dan ramai yang tertanya-tanya, wujudkah undang-undang yang dapat melindungi golongan cilik ini daripada menjadi tumpuan pedofilia untuk melampiaskan nafsu abnormalnya? Jawapannya ya.

Perkara ini sudah pun dijawab oleh seorang peguam jenayah, Mufarwa Farid (gambar di atas) menerusi perkongsian di Facebook miliknya baru-baru ini yang mengupas tentang hukuman jenayah berkaitan sebaran pornografi kanak-kanak.

Dalam perkongsian itu, Farid yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Si Cilik menjelaskan secara terperinci tiga keadaan yang boleh ‘mengheret’ seseorang individu itu ke muka pengadilan. Berikut merupakan perkongsiannya.

Pornografi Kanak-Kanak: Awas, Penjara ‘Menanti’ Kalau Buat 3 Benda Ni – Peguam

Saya dengar, ada video yang tidak senonoh mirip pelakon kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun telah bertebaran di media sosial.

Tuan puan,

Mengakses video pornografi kanak-kanak merupakan satu jenayah yang berat di sisi undang-undang.

Apatah lagi terhadap perbuatan menyebarkan atau berkongsi video pornografi tersebut. Hukuman jenayah ini amat-amat berat, walaupun kita hanya berkongsi bahan tersebut untuk diri sendiri.

Tidak kisahlah video pornografi itu melibatkan kanak-kanak lelaki, atau kanak-kanak itu secara sukarela, atau kanak-kanak itu sebenarnya bukanlah pelakon itu. Ini tidak akan mengubah apa-apa..

Selagi video kanak-kanak itu disebarkan oleh kita, walaupun hanya dengan menekan butang ‘share’ atau ‘retweet’, dan kongsikan ke platform lain seperti Telegram dan WhatsApp, tindakan ini merupakan satu jenayah yang amat berat.

Gambar hiasan | Kredit: Freepik via Google

Berikut merupakan hukuman jenayah berkenaan pornografi kanak-kanak mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017:

1) Hasilkan bahan pornografi kanak-kanak:

Perkara ini boleh disabitkan hukuman di bawah Seksyen 5, pesalah boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih daripada 30 tahun dan menerima sebatan sebanyak enam kali. 

2) Bertukar-tukar/ menyampaikan bahan pornografi kanak-kanak:

Bagi kesalahan bertukar-tukar ataupun menyampaikan bahan pornografi kanak-kanak, perbuatan ini boleh disabitkan hukuman di bawah Seksyen 8, iaitu hukuman penjara tidak lebih daripada 15 tahun dan sebatan sebanyak tiga kali. 

3) Mengakses bahan pornografi kanak-kanak:

Sesiapa yang hanya menonton bahan-bahan sebegini juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang. Mereka boleh dipenjarakan tidak lebih daripada lima (5) tahun ATAU denda tidak lebih daripada RM10,000.

Berhentilah sebarkan apa-apa maklumat atau video berkaitan video pornografi kanak-kanak.

Selain daripada perspektif jenayah, ia juga merupakan satu perbuatan yang amat keji dan bakal memusnahkan masa depan kanak-kanak tersebut.

Polis boleh mengesan identiti individu yang menyebarkan video tersebut melalui alamat IP atau pun menerusi maklumat orang awam.

Jangan ingat kita boleh selamat. Kalau 10 orang kongsi, seorang mesti akan tersangkut dan dituduh di mahkamah. Takut-takut, kitalah seorang yang tersangkut itu.

Bagi siapa yang tahu, ambillah iktibar.

Yang tak tahu, janganlah cari. Langsung jangan.

Sumber: Mufarwa Farid via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma