Putera Charles III Bakal Jadi Raja Britain Yang Baharu
Selepas mangkatnya Ratu Elizabeth II, Putera Charles, 73, dilaporkan mengambil takhta monarki Britain dengan menggunakan gelaran Raja Charles III.
Memetik BBC UK, anakanda baginda iaitu Putera Wiliam dan isteri, Kate Middleton secara automatik akan menggunakan gelaran Duke dan Duchess of Cornwell, Cambridge. Isteri baginda pula, Camilla akan dikenali sebagai Queen Consort.
Dalam pada itu, menurut laporan, Raja Charles III akan menaiki takhta secara rasminya di Istana St James, London pada Sabtu ini.
Berita kemangkatan kerabat tertinggi diraja UK, Ratu Elizabeth II itu telah disahkan dan diumumkan oleh Istana Buckingham dalam satu kenyataan rasmi seperti yang dilaporkan oleh media-media di seluruh dunia.
“Ratu sudah mangkat di Balmoral (istana) hari ini (semalam, waktu tempatan).
“Raja dan raja permaisuri akan kekal berada di Balmoral malam ini (semalam) dan bakal pulang ke London esok (hari ini),” maklum kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, difahamkan seluruh UK akan melalui tempoh berkabung selama 10 hari sebagai tanda penghormatan terakhir buat baginda.
Terdahulu, mendiang Ratu Elizabeth II dilapor mengalami masalah kesihatan yang merosot sehingga perlu berada di bawah pengawasan pihak perubatan istana.
Imbas kembali, mendiang Ratu Elizabeth II mula memegang takhta sejak 1952 pada usia 25 tahun selepas era Perang Dunia Kedua berakhir.
Untuk rekod seperti yang dilapor AFP, tempoh pemegangan takhta sebagai Ratu England selama 70 tahun itu menjadikannya sebagai fasa monarki paling panjang dalam sejarah Britain.
Sumber: BBC UK