Siakap Keli
maksud operation london bridge
Gambar: AFP/UK in India

Ratu Elizabeth II Mangkat, Ini Maksud ‘Operation London Bridge Pun Bermula’

Ratu Elizabeth II sudah pun menghembuskan nafas terakhir hari ini. Apakah maksud istilah ‘Operation London Bridge pun bermula’?

Malam ini seluruh dunia digemparkan dengan kemangkatan kerabat tertinggi diraja UK, Ratu Elizabeth II yang disahkan telah menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi.

Istana Buckingham memaklumkan kemangkatan tersebut dalam satu kenyataan rasmi seperti yang dilapor media-media di seluruh dunia.

“Ratu sudah mangkat di Balmoral (istana) hari ini (waktu tempatan).

“Raja dan raja permaisuri akan kekal berada di Balmoral malam ini dan bakal pulang ke London esok,” maklum kenyataan tersebut hari ini.

Dalam pada itu, difahamkan seluruh negara akan melalui tempoh berkabung selama 10 hari sebagai tanda penghormatan terakhir buat baginda.

Sementara itu, anak lelaki terakhirnya, Putera Charles yang juga selaku Putera Wales secara rasminya ditabalkan menjadi Raja UK pada usia 73 tahun.

Terdahulu, mendiang Ratu Elizabeth II dilapor mengalami masalah kesihatan yang merosot sehingga perlu berada di bawah pengawasan pihak perubatan istana.

Keratan laporan terdahulu

BACA JUGA: Ratu Elizabeth II Mangkat Pada Usia 96 Tahun

Operation London Bridge

Seperti yang sedia maklum, mendiang Ratu Elizabeth II sudah pun mangkat, maka secara rasminya takhta akan diwariskan kepada pewarisnya yang sah menurut susur galur diraja.

Difahamkan, mengikut tradisi diraja UK, pewaris yang baharu akan dinaikkan takhta secara rasmi sebaik sahaja ratu mangkat. Ini bermakna takhta tersebut akan diwarisi anak lelakinya, Putera Charles.

Namun difahamkan, pertukaran takhta bukanlah semudah yang disangka. Proses yang rumit dan kompleks (mengikut protokol diraja) perlu dilalui pihak istana dalam fasa menggantikan ratu serta pengumuman butiran penggantian.

Berbalik kepada konteks, detik-detik akhir sebelum artikel ini disiarkan, muncul istilah ‘Operation London Bridge‘ di media sosial rentetan kemangkatan mendiang Ratu Elizabeth II tadi. Persoalannya, apakah maksud Operation London Bridge?

Apa maksud ‘London Bridge is down’?

Gambar hiasan | Kredit: AFP

Menurut artikel as.com, frasa London Bridge is down akan digunakan sebagai maklumat untuk memaklumkan kepada ahli keluarga, diplomat luar negara serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan bahawa raja/ratu sudah mangkat.

Difahamkan, kerajaan UK khususnya serta pihak media penyiaran sudah membuat persiapan rapi mengenai kemangkatan Ratu Elizabeth II untuk menyiarkan berita (mengenainya) secara terhormat dan pantas.

Seperti yang tertulis dalam Fortune, Operation London Bridge akan bermula sebaik sahaja mendiang baginda mangkat, menerusi beberapa fasa yang dilalui mengikut protokol yang ditetapkan.

Panggilan

Segalanya bermula dengan panggilan rasmi. Sebaik sahaja mendiang baginda mangkat, setiausaha sulitnya, Sir Edward Young akan membuat panggilan kepada perdana menteri (PM) dan berkata ‘London Bridge is down‘.

Notifikasi

Kemudian setelah PM menerima maklum, laporan kemangkatannya akan terus disampaikan kepada 15 kerajaan (negara) serta-merta termasuklah Jamaica, New Zealand, Australia, Papua New Guinea, Kanada dan Bahamas.

Selepas itu, perkhabaran tersebut juga terus disampaikan kepada kesemua 38 negara-negara Komanwel di seluruh dunia. Ketika fasa ini, difahamkan semua pihak yang terlibat perlu memakai pakaian serba hitam sebelum hadir ke perkarangan Istana Buckingham.

Pertukaran takhta

Gambar hiasan | Kredit: UK In India

Bendera-bendera rasmi negara akan diturunkan separuh tiang. Ketika fasa ini, Putera Charles – yang bakal mewarisi takhta – akan menjadi Raja rentetan kemangkatan mendiang Ratu Elizabeth II. Difahamkan baginda dijangka perlu menyampaikan titah pertama selaku Raja (belum rasmi).

Kemudian keesokannya, bendera-bendera akan dinaikkan kembali dan pada pukul 11 pagi (waktu UK), Putera Charles secara rasminya ditabalkan sebagai Raja, manakala Puteri Camilla pula sebagai Raja Permaisuri UK.

Difahamkan, kerabat diraja akan melakukan lawatan ke seluruh UK melalui Scotland, Ireland Utara dan Wales sebagai protokol seakan ‘mencemar duli’. Dalam masa sama, pihak Dewan Westminster pula menguruskan majlis pemakaman mendiang baginda.

Pemakaman

Merujuk Fortune lagi, empat hari selepas kematian mendiang baginda, akan ada perarakan dari Istana Buckingham ke Dewan Westminster. Mendiang baginda akan ‘berbaring’ dalam keadaan ‘tenang’ selama empat hari sebelum dimakamkan.

Majlis pemakaman akan dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang yang sebahagian besarnya melibatkan Kabinet kerajaan, selain turut mendapat liputan oleh agensi media antarabangsa dan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Difahamkan, mendiang baginda Ratu Elizabeth II dijangka bakal dimakamkan bersebelahan dengan makam mendiang suaminya, Putera Philip dan ayahandanya, Raja George VI.

**Nota – dakwaan BBC tukar warna logo

Kredit: The Gazzette

Tular di internet dakwaan tentang agensi berita BBC menukar logo rasmi mereka daripada warna merah ke hitam susulan kemangkatan mendiang baginda Ratu Elizabeth II. Bagaimanapun semakan pantas agensi REUTERS sebentar tadi mendapati logo BBC tidak berubah warna dan dakwaan tersebut hanyalah berita palsu.

Sumber: AS.com / Fortune / AFP

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana