Siakap Keli
bekas ketua cawangan pas meninggal dunia
Gambar: Masjid Kampung Kenor Via Sinar Harian

‘Bekas Ketua Cawangan Pas Meninggal Dunia Dalam Keadaan Sujud Seorang Pemurah, Jaga Solat Jemaah’ – Imam

Bekas Ketua Cawangan Pas Kampung Kenor, Kuala Krai, Mohd Radzi Ibrahim, 63 tahun yang meninggal dunia sewaktu menunaikan solat Maghrib berjemaah baru-baru ini merupakan seorang yang pemurah, lapor Sinar Harian.

Imam Tua Masjid Mukim Kenor, Ahmad Fadhil Zamani menceritakan, pernah seketika sewaktu berada di kedai makan, arwah sangat pemurah kerana sering berebut-berebut untuk ‘payung’ (belanja) harga makanan dan minuman rakannya.

Malah dalam masa sama, arwah juga sangat menjaga ibadah solat fardu dalam rutin hariannya sebagai tiang agama, selain turut mengamalkan bacaan surah-surah pilihan secara istiqamah.

“Arwah memang solat berjemaah lima waktu di masjid dan setiap hari mengamalkan membaca 40 kali surah al-Ikhlas selain seorang yang sangat berpegang teguh pada janji.

“Kita tidak tahu amalan rahsia arwah hingga membawa kepada kematiannya secara husnul khatimah (mati dalam keadaan beribadat dan pada malam Jumaat),” maklum Ahmad Fadhil lagi.

Imbas kembali detik-detik terakhirnya, sewaktu rakaat pertama dalam solat Maghrib berjemaah, arwah secara tiba-tiba rebah yang ketika itu berlaku pada jam 7.20 malam hari kejadian.

Menurut Ahmad Fadhil, beliau terdengar bunyi kuat seperti objek jatuh sewaktu hendak rukuk ketika mengimamkan solat Maghrib tersebut.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Mohd Radzi rebah terlebih dahulu dalam keadaan bersujud sebelum sempat rukuk bersama jemaah lain yang turut menunaikan solat, maklumnya menerusi Sinar Harian.

“Seorang jemaah berhenti daripada solat dan segera membantu membaringkan Mohd Radzi yang sudah tidak sedarkan diri.

“Saya menghubungi talian kecemasan 999 dan pegawai perubatan yang tiba memeriksa Mohd Radzi mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” jelas Ahmad Fadhil sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, difahamkan mangsa mempunyai latar belakang penyakit jantung, jelas imam masjid berkenaan.

Jenazah Mohd Radzi selamat dikekebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah Kuala Krai selepas solat Jumaat, lapor Sinar Harian lagi.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?