Siakap Keli

Franchise International Malaysia 2022 (FIM2022) Pusat Sehenti Usahawan Francais Tempatan Dan Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 8 September 2022 – Penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (FIM2022), yang berlangsung dari 8 hingga 10 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), merupakan pusat sehenti buat usahawan francais tempatan dan antarabangsa.

FIM2022 disertai oleh hampir 100 jenama francais tempatan dan antarabangsa daripada 9 buah negara termasuk Amerika, Australia, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan Malaysia sendiri. Selain syarikat francais, FIM turut mengumpulkan beberapa agensi  berkaitan serta pembekal bagi mewujudkan ekosistem francais yang bersepadu.

Pameran dan persidangan francais terbesar di Asia Tenggara ini mensasarkan seramai 14,000 orang pengunjung dengan jangkaan potensi pelaburan francais berjumlah RM450 juta sepanjang pameran tiga hari itu berlangsung.

Menurut Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, FIM adalah platform terbaik untuk menerokai pelbagai peluang perniagaan francais serta mendapatkan pelbagai maklumat mengenai francais termasuk berkaitan bantuan dan insentif kerajaan, khidmat sokongan, aktiviti pembangunan serta program latihan yang tersedia di dalam industri francais.

“Selain itu, FIM juga merupakan platform kepada syarikat francais tempatan untuk mempromosikan perniagaan masing-masing melalui pakej francais serta mewujudkan peluang transformasi perniagaan konvensional kepada konsep francais,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian FIM2022 di KLCC, hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri pada majlis itu dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, YBhg. Dato’ Azman Mohd Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri), YBhg. Datuk Roziah binti Abudin serta Pengerusi MFA, YBhg. Datuk Dr. Radzali Hassan.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, selain pameran, FIM juga turut mengetengahkan beberapa aktiviti lain seperti sesi padanan perniagaan, sesi rundingan francais, sesi taklimat francais yang dinamakan franchise pit-stop, aktiviti edutainment serta persidangan francais. 

“Persidangan kali ini menampilkan 25 panel penceramah bertaraf antarabangsa yang terdiri daripada penggiat industri dan professional dari luar dan dalam negara. Antara intipati persidangan pada tahun ini adalah terminologi asas perniagaan francais, pengembangan perniagaan ke pasaran antarabangsa, perundangan francais, perkongsian strategi perkukuh perniagaan dan tips menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya.

Beliau berharap agar pameran dan persidangan ini dapat memberi manfaat kepada pengunjung dan membantu mereka menjalankan perniagaan dengan lebih relevan, future-proof dan stabil.

Program ini turut menerima tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Secure Robotic, Q-Solve, Harta Maintenance, Marrybrown, Seer Marketing, Bubblebee, My Laksa, At Tea, Ayam Penyet Best, Boat Noodle, Siti Khadijah, dan Smart Reader Kids.

Orang ramai dijemput hadir ke program ini dengan pelbagai aktiviti telah disediakan serta berpeluang untuk mendapatkan informasi berkenaan peluang perniagaan francais yang ditawarkan oleh para penggiat francais tempatan dan antarabangsa.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa