Siakap Keli

Produk Soft Candy With Jam Guna Logo Halal Tidak Diiktiraf – JAKIM

Produk Soft Candy With Jam Guna Logo Halal Tidak Diiktiraf – JAKIM

Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan bahawa produk Soft Candy With Jam menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihaknya.

Kenyataan itu dibuat selepas JAKIM dihujani dengan pelbagai pertanyaan daripada pengguna media sosial berhubung status halal produk tersebut. Ia rentetan daripada isu tular maklumat kandungan bahan mentah pada label pembungkusan produk tersebut yang didakwa tertera ramuan tidak halal iaitu pork geletin (geletin babi).

Selain itu, turut tertera pada produk tersebut adalah logo halal yang didakwa daripada Halal Food Council International Malaysia & Asia Region. Keadaan itu menyebabkan timbul keresahan dan salah faham umat Islam terhadap pensijilan halal Malaysia.

”Untuk makluman semua, produk tersebut telah menggunakan logo halal yang TIDAK DIIKTIRAF oleh JAKIM. Justeru, penggunaan logo halal tersebut adalah menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan yang berkaitan di negara ini.

”Pengguna Muslim dinasihatkan untuk tidak memilih produk berkenaan dan meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk sebelum melakukan sebarang belian dan transaksi,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Bahagian Hab Halal JAKIM menasihatkan pengguna yang menjumpai produk tersebut dalam pasaran untuk mengemukakan aduan lengkap dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui e-mel [email protected] atau kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui e-mel [email protected] / http://e-aduan.kpdnhep.gov.my/.

Bagi umat Islam yang ingin mengetahui senarai badan-badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM, boleh layari www.halal.gov.my atau muat turun di Google Drive.

BACA: Hormat Kemangkatan Ratu Elizabeth, Negeri Sembilan Kibar Bendera Separuh Tiang Isnin Ini

Sumber: Bahagian Hab Halal, JAKIM

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.