Siakap Keli
Gambar : Bernama

Guna Aplikasi Je, Ini Cara Nak Buat Caruman Sukarela KWSP Guna I-Akaun

Caruman Sukarela Kini Boleh Dilakukan Menggunakan Aplikasi

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu tabung simpanan persaraan yang membantu pekerja Malaysia menabung untuk persaraan.  Hal ini mampu memastikan masa depan pencarum terjaga dan dilindungi.

Caruman boleh dilakukan kepada semua ahli KWSP yang bekerja dari pelbagai sektor awam ataupun swasta. Tambahan lagi, caruman sukarela oleh individu di sektor tidak rasmi juga diterima oleh KWSP.

Caruman pilihan sendiri merupakan pilihan untuk pekerja sektor tidak rasmi. Penyertaan melalui akaun ini amatlah dialu-alukan untuk memudahkan simpanan pada hari tua.

Syarat- syarat utama kelayakan ialah warganegara Malaysia dan pemastautin tetap dan telah mendaftar sebagai ahli KWSP.

Sebelum ini, Caruman Sukarela perlu dibuat secara fizikal di cawangan KWSP yang berdekatan.

Namun kini, KWSP telah mengemaskini aplikasi i-Akaun dengan menambah satu fungsi baharu untuk memudahkan ahli membuat Caruman Sukarela melalui Akaun Ahli.

Ikuti 6 langkah mudah untuk membuat Caruman Sukarela melalui aplikasi i-Akaun.

Pertama, anda perlu memuat turun aplikasi i-Akaun di telefon bimbit anda terlebih dahulu. Seterusnya, log masuk aplikasi dan klik pada butang Tambah Caruman.

Gambar : Bonnie Wong Via Facebook

Kemudian, masukkan amaun yang ingin dicarumkan secara sukarela ke dalam akaun pada ruang yang disedikan dan leret untuk teruskan caruman.

Gambar : Bonnie Wong Via Facebook

4. Pilih perbankan dalam talian dan klik Seterusnya.

Gambar : Bonnie Wong Via Facebook

Selepas itu, log masuk bank yang dipilih lalu masukkan TAC yang diberikan oleh bank dan klik Teruskan. Cetak resit dan caruman telah dimasukkan ke dalam akaun anda. Mudah je.

Gambar : Bonnie Wong Via Facebook

Namun begitu terdapat terma dan syarat yang perlu dipatuhi sebelum membuat caruman sukarela melalui aplikasi mudah alih.

Terma dan Syarat ialah :

  1. Bayaran bagi caruman pilihan sendiri di bawah Akta KWSP 1991 (Caruman Sukarela).
  2. Warganegara Malaysia yang belum mencapai umur 75 tahun layak untuk membuat Caruman Sukarela.
  3. Maklumat bagi Caruman Sukarela adalah benar dan betul.
  4. Had maksimum bayaran Caruman Sukarela melalui semua saluran adalah RM60,000 setahun.
  5. Sekiranya bayaran Caruman Sukarela adalah bagi i-Saraan/ Kasih Suri Keluarga Malaysia sumbangan/insentif khas berkaitan adalah tertakluk kepada syarat yang ditentukan oleh Kerajaan.
  6. Bayaran Caruman Sukarela akan dikreditkan ke akaun KWSP ahli sekurang-kurangnya tiga hari bekerja selepas bank memindahkan bayaran tersebut kepada KWSP.
  7. Bayaran Caruman Sukarela adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang ditentukan oleh KWSP.

Kini ahli KWSP boleh mencarum dengan hanya menggunakan aplikasi di telefon bimbit sahaja tanpa perlu hadir ke cawangan KWSP. Cara ini pastinya menjimatkan masa dan tenaga semua ahli KWSP yang ingin mencarum.

Sumber : KWSP , Facebook Bonnie Wong

 

Anis Annisa