Siakap Keli
Rusia kini 'disisih' dari undian kelayakan euro 2024
Gambar: TASS/Be Soccer

Selepas Dilarang Sertai Piala Dunia, Rusia Kini ‘Disisih’ Dari Undian Kelayakan Euro 2024

Selepas Dilarang Sertai Piala Dunia, Rusia Kini ‘Disisih’ Dari Undian Kelayakan Euro 2024

Pasukan bola sepak Rusia telah ‘diharamkan’ daripada undian kelayakan untuk menyertai Kejohanan Eropah (Euro) 2024 dipercayai akibat daripada pencerobohan negara itu ke atas Ukraine yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu.

Memetik laporan Euro Sport, larangan dari menyertai perlawanan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Julai berikutan rayuan yang dibuat oleh persekutuan bola sepak Rusia. 

Dalam pada itu, badan bola sepak Eropah (UEFA) juga mengesahkan bahawa Russia tidak akan menyertai perlawanan kelayakan untuk Kejohanan Eropah 2024.

Badan induk Eropah dalam satu kenyataan berkata, semua pasukan Rusia kini digantung ekoran keputusan Jawatankuasa Eksekutif UEFA pada 28 Februari 2022 yang melanjutkan tempoh sekatan ke atas mereka dan telah disahkan oleh CAS pada 15 Julai 2022. 

“Oleh itu, Rusia tidak termasuk dalam undian kelayakan untuk mara ke Euro 2022-2024,” jelas mereka. 

Di samping itu, Rusia juga telah digantung daripada Piala Dunia 2022 di Qatar dan telah disingkirkan daripada play-off kelayakan kejohanan itu yang berlangsung pada Mac lalu. 

Selain itu, pasukan wanita juga turut dikecualikan daripada Kejohanan Eropah musim panas dan telah digantikan dengan Portugal ke dalam undian.

Persekutuan bola sepak Bosnia dan Herzegovina telah mengesahkan bahawa perlawanan persahabatan menentang Rusia telah ditetapkan pada November walaupun sekatan antarabangsa masih diteruskan. 

Perlawanan merebut kelayakan untuk mara ke kejohanan Euro 2024 di Frankfurt akan berlangsung pada 9 Oktober nanti.

BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China

BACA JUGA: Belum Ada TikTok, Ini 7 Mainan ‘Rare’ Zaman Dulu Yang Sangat Rugi Budak Sekarang Tak Rasa

Sumber: Euro Sport

Faiz Mustafa