Siakap Keli
10 Tempat Menarik Di Pulau Langkawi
Gambar: Thrillophilia/Foursquare/Libur/Get Your Guide

Jangan Tak Tahu, Ini 10 Tempat Menarik Wajib Pergi Jika Sampai Ke Pulau Langkawi

Jangan Tak Tahu, Ini 10 Tempat Menarik Wajib Pergi Jika Sampai Ke Pulau Langkawi

Percutian merupakan sesuatu yang menenangkan jiwa. Bagaimanapun, aspek pemilihan tempat atau kawasan amat penting kerana ia boleh mempengaruhi mood sepanjang percutian.

Pemilihan kawasan pelancongan yang menarik juga akan membuatkan percutian anda jadi lebih bermakna dan kekal dalam ‘lipatan’ memori.

Di Malaysia sendiri, terdapat pelbagai tempat menarik yang boleh kita kunjungi sama ada secara solo, bersama keluarga atau pun bersama pasangan.

Seperti di Pulau Langkawi, ia merupakan salah satu pulau yang paling popular di negara ini dan sentiasa ‘diserbu’ orang ramai. Selain ‘dihampari’ dengan pemandangan yang indah, pulau itu juga menyimpan pelbagai sejarah yang terus diingati sehingga kini.

Selain itu, Pulau Langkawi sebenarnya mempunyai banyak kawasan dan tempat yang menarik untuk dikunjungi, malah terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan bersama seisi keluarga ketika berada di pulau itu.

Bagi yang merancang untuk ke sana, mari ‘selidiki’ 10 tempat menarik yang boleh anda lawati di pulau tersebut.

10 Tempat Menarik Di Pulau Langkawi

1. Air Terjun Telaga Tujuh

Gambar: Tempat Menarik Via Google

Bagi mereka yang menyukai aktiviti luar dan sukan lasak, lokasi Air Terjun Telaga Tujuh menjadi destinasi yang sesuai.

Terletak di Telaga Harbour Park (tebing Gunung Mat Chinchang), para pelancong perlu mendaki sekitar 600 anak tangga sebelum tiba di lokasi ini.

Sejurus tiba, pelancong akan disajikan dengan panorama menarik air terjun itu yang sentiasa mengalir turun.

Disebalik keindahan Air Terjun Telaga Tujuh, terdapat sebuah mitos mengenai puteri-puteri kayangan sering turun ke bumi untuk bermandi-manda di tujuh telaga itu. Oleh itu, air terjun ini mendapat nama sempena mitos tersebut.

Tambahan lagi, aliran air terjun pertama membentuk sebuah sungai kecil yang mengalir dari satu kolam (telaga) ke satu kolam. Menurut cerita rakyat, air ini dapat membantu merawat penyakit.

2. Langkawi Cable Car @ Panorama Langkawi Skycab

Gambar: Thrillophilia Via Google

Dari ketinggian 708 meter di atas paras laut, anda mampu melihat panorama menarik hamparan hutan yang menghijau, gunung dan juga pulau sekitarnya setelah menaiki Langkawi Cable Car.

Mula beroperasi pada 27 Februari 2005, jarak yang perlu dilalui oleh cable car adalah sejauh 2.2 kilometer.

Sudah pasti ia bakal memberikan ketenangan kepada anda sekiranya melihat pemandangan yang penuh dengan flora. Bukan itu sahaja, kawasan itu juga menyajikan aktiviti lain seperti SkyRex, SkyDome, SkyBridge, SkyTrail dan SkyGlide.

Tempat menarik ini terletak Cable Car Station, Oriental Village, Burau Bay dan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 7 petang pada hari Isnin-Khamis

Manakala pada hari minggu pula ia beroperasi dari jam 9.30 pagi hingga 7 petang iaitu pada hari Jumaat hingga Ahad.

3. Underwater World Langkawi

Gambar: Foursquare

Jika mereka yang ingin mencari lokasi percutian bersama keluarga, lokasi ini sangat sesuai untuk dikunjungi.

Underwater World Langkawi merupakan akuarium terbesar di Malaysia dan di Asia Tenggara dengan keluasan 60,000 kaki persegi. Ia mampu menempatkan lebih 500 spesis haiwan laut seperti penguin dan jerung.

Tambahan lagi terdapat banyak bahagian seperti Preview Tank, River Ecosystem, Tropical Rainforest, Temperate Section, Sub-Antartic Section Tunnel Tank dan banyak lagi yang menempatkan haiwan-haiwan yang tidak pernah anda lihat di negara Malaysia.

Tempat ini terkenal dengan tarikan utamanya iaitu terowong dalam air sepanjang 15 meter, galeri hidupan air (pendidikan) dan teater tiga dimensi (3D).

4. Pantai Cenang

Gambar: Mai Singgah

Jika anda sudah berada di bumi Langkawi, ia seperti menjadi satu kewajipan untuk singgah ke Pantai Cenang. Tiupan angin laut dan pemandangan cantik sememangnya menggamit memori indah percutian anda.

Hanya mengambil masa selama 10 minit daripada Lapangan Terbang Langkawi, pantai ini juga menyediakan pelbagai kemudahan dan tempat penginapan yang selesa sekaligus menarik minat pelancong dari dalam mahupun luar negara.

5. Dataran Lang (Langkawi Eagle Square)

Gambar: Foursquare

Terletak berhampiran Jeti Kuah, arca seekor helang berwarna coklat menjadi mercu tanda Pulau Langkawi. Arca menarik ini mempunyai ketinggian 12 meter.

Pelancong lebih gemar untuk berjalan kaki ke dataran ini kerana jaraknya yang dekat sambil menikmati percutian mereka. Kebiasaannya, ramai pengunjung mengambil gambar di tugu haiwan ini sebagai tanda ‘hadir’ dan kenang-kenangan di pulau bersejarah itu.

Untuk pengetahuan, nama Langkawi merupakan gabungan nama daripada Helang (Lang) dan Kawi (coklat kemerahan).

6. Pulau Dayang Bunting

Gambar: Libur Via Google

Antara tempat menarik lain yang boleh diterokai termasuklah Pulau Dayang Bunting (Tasik). Nama pulau ini tercipta berikutan bentuk muka buminya yang menyerupai seorang wanita yang sedang mengandung.

Melancong ke kawasan seperti ini, apa yang terlintas di fikiran anda? Sudah semestinya jangan melepaskan peluang untuk mandi di kawasan ini.

Harus diingatkan bahawa tasik ini mempunyai kedalaman 10 meter yang dikelilingi dengan hutan bakau dan batu kapur. Jaraknya juga mengambil waktu selama 15 minit dari jeti untuk sampai ke pulau yang sering dikunjungi oleh pelancong ini.

Pelbagai aktiviti yang ditawarkan di tasik ini seperi jungle trekking yang boleh membuatkan pengunjung ‘bersatu’ dengan alam.

7. Langkawi Orchid Farm

Gambar: Jom Jalan Via Google

Langkawi Orchid Farm sebuah ladang yang menempatkan pelbagai spesis bunga orkid. Bagi pencinta bunga, tempat ini sememangnya Syurga.

Pengunjung secara tidak langsung dapat melihat kecantikan pelbagai jenis warna, rupa bunga dari jarak dekat.

Difahamkan, terdapat lebih 200 spesis bunga di ladang ini yang yang terletak di Jalan Ayer Hangat. Orang ramai juga tidak perlu bersusah payah merancang hari untuk datang ke sini kerana ia dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

8. Paradise 101 Langkawi

Gambar: Get Your Guide Via Google

Paradise 101 Langkawi merupakan sebuah pulau persendirian. Pulau kecil ini menjadi tumpuan ramai kerana ia menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang boleh lakukan.

Terhindar dari asap kenderaan dan kesesakan lalu lintas, pengunjung dapat merasai pengalaman menaiki jet ski, banana boat, menyelam dan juga zipline yang pastinya amat menyeronokkan. Tambahan lagi, ia dibuka seawal jam 10 pagi hingga 8 malam setiap hari.

9. Langkawi Skybike

Gambar: Facebook Langkawi VIRAL

Sesiapa yang ingin menguji tahap keberanian mereka boleh menaiki permainan ini yang terletak di Kuah.

Walaupun hanya perlu menaiki basikal seperti biasa, mengayuh basikal pada ruang udara membuatkan anda merasai sensasi keseronokan tidak dapat digambarkan.

Langkawi Skybike dibuka pada jam 9.30 pagi hingga 5,30 petang yang beroperasi setiap hari.

10 Masjid Al Hana

Gambar: Trip.com

Dalam keseronokan melancong, kita juga boleh singgah sebentar di masjid terbesar dan terkenal di Pulau Langkawi iaitu Masjid Al Hana sewaktu menunaikan solat.

Masjid cantik ini terletak di antara bandar Kuah dengan Jeti Kuah. Berdiri kukuh di Persiaran Putra, Masjid Al-Hana mula dibina pada tahun 1959 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1961.

Difahamkan, masjid ini menggunakan seni bina Moor yang diambil dari Uzbekistan sebelum digabungkan ke dalam seni bina Melayu.

Berbeza dengan seni bina masjid di Malaysia, ia menarik perhatian ramai dengan mempunyai kubah utama yang berlapiskan emas selain beberapa kubah dihiasi dengan warna peach.

Masjid ini mampu memuatkan sekitar 1,200 jemaah pada satu-satu masa sebelum di dinaik taraf kepada 2,000 jemaah. Binaan ini juga tersenarai dalam ‘Jejak Warisan Langkawi’.

Sumber: Bidadari.my Bicara Menteri, Wikipedia (Air Terjun Telaga Tujuh), ( Langkawi Cable Car), Destinasi Percutian,

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?