Siakap Keli
konsert kerajaan kelantan kecewa
Kredit: Awani

Penonton Terkinja Di Konsert Adalah Luar Kawalan, Undang Kecewa Kerajaan Kelantan – Mohd Amar

Tindakan segelintir penonton yang didakwa beraksi terkinja-kinja mengikut rentak lagu semasa menghadiri sebuah konsert yang berlangsung di Kelantan baru-baru ini mengundang rasa kecewa kerajaan negeri, lapor Awani.

Menurut Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, tindakan mereka yang dipercayai tidak dapat mengawal perasaan itu adalah di luar kawalan pihaknya dan ia mengecewakan kerana berlaku di Kelantan.

Sungguh pun kecewa dengan kejadian tersebut, namun beliau memaklumkan bahawa langkah pengharaman (konsert) tidak akan diambil, sebaliknya akan mengenakan garis panduan yang lebih ketat selepas ini.

Mohd Amar berkata antara garis panduan yang perlu diikut adalah membuat pengasingan antara lelaki dan perempuan yang tidak melibatkan pergaulan bebas, selain memastikan persembahan dilangsungkan dengan sopan.

“Kalau benda ini diikuti memang sudah memenuhi kehendak kerajaan, cuma reaksi penonton itu suatu benda yang kena diberi perhatian. Dan saya rasa benda ini pihak penganjurlah yang perlu beri perhatian,” katanya, memetik Awani.

Dalam pada itu, beliau menekankan mengenai kelakuan penonton untuk sentiasa berlaku sopan semasa konsert dilangsungkan.

“Maknanya dalam sepanjang program itu sepatutnya penganjur melalui jurucakap acara ataupun sesiapa sahaja boleh memberi peringatan kepada penonton supaya menjaga kelakuan,” ujarnya lagi, memetik Awani.

Beliau berkata demikian dalam mengulas tentang isu sebuah konsert yang dianjurkan di negeri itu baru-baru ini ketika ditemui pemberita Awani di pejabatnya hari ini.

Penganjur perlu peka pilih lagu yang betul di masa hadapan

Semasa ditemui pemberita, Mohd Amar turut dipertontonkan rakaman video tular suasana konsert berkenaan yang memaparkan penonton menari dan terhanguk-hanguk kepala mengikut rentak muzik.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkata, setiap konsep persembahan atau lagu-lagu perlu dipilih dengan lebih cermat oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kalau lagu salah, lagu rock sebagai contoh, memang dia penyanyi dan penonton dia akan jadi macam terkinja-kinja. Tapi kalau lagu itu lagu yang biasa mungkin tak jadi terkinja-kinja,” katanya selepas mengulas mengenai video itu.

Katanya lagi, tindakan penonton semasa konsert itu dianggap sebagai satu kesilapan dan meminta perlakuan mereka dibetulkan pada masa akan datang.

Tegas Mohd Amar, segala syarat kebenaran penganjuran konsert serta persembahan termasuk pemilihan lagu akan disemak semula oleh kerajaan Kelantan bagi memastikan kejadian tersebut berulang lagi.

Sumber: Awani

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana