Kerajaan Indonesia menegaskan tidak akan membenarkan konsert penyanyi Amerika Syarikat, Israel Houghton, bersama kumpulan Israel and New Breed.
Menteri Koordinator Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra berkata, keputusan itu dibuat walaupun penganjur belum memohon permit.
Menurutnya, konsert berkenaan pada mulanya dirancang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Jakarta sebelum dipindahkan ke lokasi lain.
“Kerajaan ingin menegaskan bahawa kami tidak akan membenarkan konsert Israel Houghton bersama kumpulan Israel and New Breed di Indonesia,” katanya pada sidang media, Isnin.
Kerajaan Indonesia Larang Konsert Israel Houghton

Yusril berkata, kerajaan sudah mendapatkan maklumat daripada Menteri Koordinator Politik dan Keselamatan serta pihak polis berhubung rancangan konsert berkenaan.
“Jadi, walaupun terdapat beberapa tokoh yang meminta kerajaan membatalkan permit konsert ini, sebenarnya tiada permohonan permit dikemukakan sehingga kini,” katanya.
Dalam pada itu, Yusril berkata kerajaan turut mengambil langkah bagi memastikan status kemasukan Israel Houghton ke Indonesia.
Beliau berkata, hasil semakan dengan Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan mendapati penyanyi itu belum mengemukakan permohonan visa.
“Kami juga sudah bersedia sekiranya beliau memasuki Indonesia menggunakan kemudahan visa semasa ketibaan,” katanya.


