Siakap Keli

“Kami Mampu Melakukannya”, Tular Semula Ucapan Biden, Akan Hentikan Projek Nord Stream 2 Jika Rusia Serang Ukraine

“Kami Mampu Melakukannya”, Tular Semula Ucapan Biden, Projek Nord Stream 2 Akan Dihentikan Jika Rusia Serang Ukraine

Hari ini, dua saluran paip yang menghantar bekalan gas Rusia ke beberapa negara Eropah, Nord Stream 1 dan 2 dilapor bocor. Sekurang-kurangnya tiga kebocoran dikesan setakat ini.

Dua kebocoran dikesan membabitkan saluran paip Nord Stream 1, masing-masing satu di kawasan perairan pentadbiran Sweden dan satu di Denmark. Manakala, satu kebocoran dikesan melibatkan Nord Stream 2 yang berada di kawasan Denmark.

Walaupun kedua-dua saluran paip, yang operasinya majoriti dikuasai oleh sebuah konsortium milik Gazprom milik Rusia, tidak beroperasi buat masa ini, namun ia masih mengandungi bekalan gas di dalamnya.

Memetik laporan AFP, pasukan penyiasat tidak menolak kemungkinan sabotaj sebagai punca kepada kejadian itu berlaku.

Terkini, satu video yang memaparkan ucapan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menjadi tular semula di media sosial, khususnya Twitter memandangkan dalam ucapan tersebut beliau menyentuh mengenai masa depan Nord Stream 2.

Video asal berkenaan dimuat naik oleh portal berita antarabangsa, ABC News pada 8 Februari lalu. Dalam video berkenaan, Biden berkata tiada masa depan buat projek paip berkenaan sekiranya Rusia nekad menyerang Ukraine, kerana pihaknya akan memastikan projek berkenaan tidak akan diteruskan.

“Sekiranya Rusia menyerang yang mana kereta kebal atau tenteranya menyeberangi sempadan Ukraine sekali lagi, maka tidak akan ada lagi Nord Stream 2. Kami akan menghentikannya,” kata Biden dalam sidang akhbar itu.

Beliau berkata demikian semasa mengalu-alukan kedatangan Canselor Jerman Olaf Scholz ke Rumah Putih pada Februari.

Ditanya mengenai bagaimana Amerika Syarikat mahu menamatkan projek tersebut memandangkan ia berada di bawah kawalan Jerman, Biden berkata mereka mampu melakukannya.

”Kami berjanji. Kami mampu melakukannya”, ujarnya.

Difahamkan, pada waktu itu Amerika Syarikat bersama sekutunya di Eropah, termasuk Jerman sedang berusaha selangkah demi selangkah untuk menghalang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Paip Utama Salur Gas Rusia Ke Eropah Bocor, Amerika Sedia Hulur Bantuan Kepada EU

Dalam perkembangan lain, AFP melaporkan Pegawai Kanan Rumah Putih memaklumkan Amerika Syarikat bersedia membantu sekutunya, Kesatuan Eropah selepas kebocoran meletus dari saluran paip Nord Stream 1 dan 2 yang membawa gas Rusia ke rantau itu.

Jelasnya, US tidak akan membuat spekulasi mengenai punca kebocoran gas ekoran negara Eropah akan menyiasat mengenai perkara itu.

Pegawai tanpa nama itu juga memaklumkan kerjasama ini adalah untuk membantu rakan sekutunya dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan gas di masa hadapan.

Sumber: ABC News

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana