Siakap Keli
influencer tiktok maut ditembak
Gambar hiasan | iStock/Daily Mail

Padah Jawab Panggilan Misteri, ‘Influencer’ Tiktok Maut Ditembak

Tindakan seorang pempengaruh (influencer) TikTok menerima panggilan misteri pada lewat malam akhirnya mengundang padah apabila dia ditembak mati hanya beberapa saat kemudian dalam satu kejadian di Mexico baru-baru ini., lapor Daily Star.

Pendakwa Raya Sinaloa Sara Bruna Quinone berkata mangsa menerima panggilan misteri berkenaan pukul 10.30 malam pada 20 September lepas di mana suspek memintanya untuk keluar ke rumah ketika kejadian.

“Menurut maklumat yang diberikan oleh ibunya, mangsa telah menerima panggilan dan telah keluar dari rumah untuk menjawab panggilan ketika itulah serangan berlaku,” kata pendakwa raya tersebut, memetik Daily Star.

Difahamkan, dedah Sinaloa suspek melakukan serangan hendap ke atas mangsa dengan menembaknya beberapa kali hingga mati sebelum mayatnya ditemui pihak berkuasa dalam keadaan badan dipenuhi peluru.

Dalam pada itu, saksi turut melaporkan mereka terlihat sekumpulan individu bersenjata berkeliaran di kawasan rumah mangsa sebelum serangan dilakukan, namun identitinya masih belum diketahui dan tangkapan oleh pihak polis belum dibuat setakat ini.

Dalam masa sama pihak polis sedang menjalankan siasatan ke atas kes tersebut dan melabelkannya sebagai ‘kes pembunuhan wanita’ kerana mangsa berada di tempat terbuka dan berseorangan ketika serangan itu berlaku.

“Siasatan dijalankan secara rahsia supaya suspek tidak akan sedar mengenai siasatan yang dilakukan,” kata polis semasa menerangkan mengenai kejadian yang berlaku.

Beri nota terakhir untuk 90,000 followers

Difahamkan mangsa yang berusia 21 tahun itu mempunyai kira-kira 90,000 pengikut di akaun Tiktok dan meraih popularitinya dengan membuat video tarian serta berkongsi mengenai kehidupannya kepada pengikutnya.

Bagaimanapun pada hari kematiannya, mangsa membuat satu video Tiktok berbentuk penulisan yang memaparkan teks yang berbunyi;

“Apabila mereka memberitahu saya mereka tidak menyukai saya. Pendek kata, saya harap anda akan kurang menyukai saya,” ayat yang dipapar dalam video tersebut.

Selepas kematiannya diuar-uarkan, video itu mendapat lebih daripada 1.5 juta tontonan dan ramai peminatnya meninggalkan komen sebagai tanda penghormatan ke atas kematiannya yang tragis.

Ramai pengikutnya tidak menyangka mangsa akan pergi dengan begitu cepat ekoran usianya masih muda serta mempunyai masa depan yang cerah.

“Kita hidup di dunia yang kejam,” kata salah seorang yang meninggalkan komen.

“Kepada rakan-rakan dan keluarga mangsa, setinggi-tinggi simpati dihantar atas kehilangan anda,” ujar seorang lagi pengikutnya di ruangan komen.

Sumber: Daily Star

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana