Siakap Keli
empat wilayah ukraine sertai rusia
Gambar: DW via Google

Referendum Tamat, Empat Wilayah Ukraine Dilapor Bakal Sertai Rusia

Empat wilayah di Ukraine dilapor bakal menyertai Persekutuan Rusia selepas undian ‘Referendum Sham’ yang dilangsungkan sejak 23 September lepas berakhir semalam, lapor Sky News.

Menurut sumber pada keputusan awal petang semalam, hasil undian selama lima hari mendapati sebanyak 93 peratus pengundi di wilayah Zaporizhzhia memilih untuk menyokong Persekutuan Rusia.

Manakala 87 peratus pengundi lagi di wilayah Kherson turut sama memilih bekas ‘gergasi’ Soviet itu.

Selain itu, wilayah Luhansk juga mencatatkan 98 peratus undian memilih Rusia, diikuti 99 peratus undian daripada pengundi di Donestk.

Bagaimanapun kemenangan puak pemisah Ukraine yang diiktiraf Kremlin dalam undian referendum menyertai Rusia berkenaan telah menimbulkan kemarahan Barat dan menyifatkannya sebagai undian palsu.

Gambar: DW via Google

Referendum Sham bermula sejak 23 September lepas di mana pegawai akan pergi rumah ke rumah untuk mengutip undi dan undian ditutup pada petang Selasa (semalam) selepas lima hari pengundian berlangsung.

Keputusan itu menetapkan peringkat fasa baharu yang berbahaya kerana ia dijangka menjadi alasan untuk Moscow menggabungkan empat kawasan itu dan berkemungkinan berlaku pada Jumaat ini.

Rusia beri amaran tingkatkan kuasa

Dalam pada itu, Rusia mengambil tindakan dan memberi amaran pihaknya boleh menggunakan senjata nuklear strategik untuk menangkis percubaan Ukraine merampas kembali wilayah itu.

“Menyelamatkan orang di wilayah terlibat dalam referendum ini adalah tumpuan perhatian seluruh masyarakat kita dan seluruh negara,” kata Presiden Rusia Vladimir Putin.

Gambar: Alexey NIKOLSKY / Sputnik / AFP

Jurucakap Putin Dmitry Peskov berkata keputusan undian yang dicatat itu mempunyai implikasi undang-undang ‘radikal’ dan referendum akan membawa kesan dari segi keselamatan.

Namun bagi Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, pihaknya turut menggunakan pelbagai cara untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Ukraine dengan menggandakan janji Kiev untuk mengusir keluar tentera Rusia.

Bagaimanapun ujarnya, keputusan undian yang dibuat oleh keempat-empat wilayah itu tidak akan mempunyai apa-apa impak di medan perang.

Difahamkan, Ukraine dan sekutunya telah mengecam referendum berkenaan ekoran kemenangan berpihak kepada Rusia dengan menganggap itu merupakan satu penipuan.

Ukraine juga turut mengumumkan bahawa hasil undian itu tidak akan diiktiraf.

Sumber: Sky News

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana