Siakap Keli
Gambar: CNN/ Electrek

“Ekonomi Kami Lebih Kuat,” Terperangkap Dalam Perang Tenaga Dengan Rusia, Jerman Laung Amaran

“Ekonomi Kami Lebih Kuat,” Terperangkap Dalam Perang Tenaga Dengan Rusia, Jerman Laung Amaran

Menteri Kewangan Jerman, Christian Lindner memberi amaran bahawa negara itu ‘terperangkap’ dalam ‘perang tenaga’ menentang pemimpin Rusia, Vladimir Putin ketika kerajaan itu mengumumkan dana baharu bagi mengehadkan kenaikan harga tenaga hari ini, lapor AFP.

“Kami sedar telah terlibat dalam perang tenaga yang melibatkan kemakmuran dan kebebasan,” katanya kepada pemberita.

Dalam ucapan yang menggariskan usaha menangani kos tenaga itu, beliau menegaskan bahawa mereka lebih kuat dari segi ekonomi.

“Selepas disabotaj oleh pihak yang tidak dikenali di Laut Baltik, keadaan menjadi lebih tegang,” jelasnya mengenai insiden kebocoran saluran paip gas yang menghubungkan Rusia ke Jerman.

Terdahulu, dua saluran paip gas Nord Stream yang menghubungkan Rusia dan Eropah dilaporkan bocor dan disyaki ada kaitan dengan unsur sabotaj sejak dua hari lalu, lapor AFP.

Saluran paip itu telah menjadi isu ketegangan geopolitik sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas Rusia bertindak menyekat bekalan gas ke Eropah sebagai tindak balas yang dilakukan oleh barat berikutan pencerobohan ke atas Ukraine.

Difahamkan, salah satu kebocoran berlaku pada Nord Stream 1 di zon ekonomi Denmark dan satu lagi di zon ekonomi Sweden manakala kebocoran pada Nord Stream 2 berlaku di Zon Denmark.

Kebocoran  gas kali pertama dilaporkan berlaku di Nord Stream 2 pada Isnin lalu.

Menteri Iklim, Tenaga dan Utiliti Denmark, Dan Jorgensen berkata bahawa pihak berkuasa kini telah dimaklumkan bahawa terdapat dua lagi kebocoran pada Nord Stream 1 yang juga tidak beroperasi tetapi mengandungi gas.

“Masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa berkaitan punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Jorgensen, pihaknya meminta agar tahap berjaga-jaga ditingkatkan dalam sektor elektrik dan gas di negara itu.

Sementara itu, Rusia turut menyuarakan kebimbangan dengan keadaan tersebut. Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata sewaktu disoal oleh pemberita mengenai insiden itu, dia berkata adalah mustahil untuk mengecualikan sebarang pilihan.

“Kebocoran saluran paip gas sangat jarang berlaku dan kami melihat sebab untuk meningkatkan tahap kesediaan ekoran insiden yang berlaku sejak 24 jam lalu.

“Kami mahu memastikan pemantauan menyeluruh terhadap infrastruktur kritikal Denmark bagi mengukuhkan keselamatan bekalan pada masa hadapan,” kata pengarah Agensi Tenaga Denmark Kristoffer Bottzauw dalam satu kenyataan.

Sumber: Barron’s

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?