Siakap Keli
bruno fernandes dedah kekal manchester united
Gambar: Independent.ie

Bruno Fernandes Dedah Ingin Kekal Lama Di Manchester United

Setelah berjaya memberi impak besar dalam pasukan, pemain tengah Manchester United (MU) Bruno Fernandes dedah ingin kekal berada di Old Trafford dalam jangka masa yang panjang, lapor media MU.

Menerusi temu bual bersama media kelab, pemain berusia 28 tahun itu berkata ia merupakan impiannya sejak kecil kerana dia membesar dengan menonton Liga Perdana (EPL) sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

“Sebagai seorang kanak-kanak di Portugal, menonton Liga Perdana dan menonton aktiviti kelab, ia sentiasa menjadi impian untuk datang ke Theatre of Dreams, Old Trafford dan mengalaminya (pengalaman),” katanya dalam temu bual itu.

Ingin mulakan hidup di Trafford

Dalam pada itu, Fernandes berkata dia telah menemui kestabilan dalam hidupnya di bandar Manchester dan di kelabnya United.

“Saya mahu berada di sini selama bertahun-tahun. Saya mahu mempunyai kestabilan untuk keluarga saya.

“Kami suka berada di sini, kami suka berada di negara ini, kami mahu bina keluarga dan besarkan anak-anak di sini serta melihat mereka mempunyai kawan dan bergembira. Itu yang paling penting bagi kami,” ujarnya lagi.

Perkara itu semestinya memberikan berita gembira kepada peminat United yang telah menikmati pemain antarabangsa Portugal itu berkembang menjadi pemimpin The Red Devils.

Oleh itu, hubungan baik antara Fernandes dan United semestinya diharapkan oleh penyokong untuk terus mekar pada masa akan datang.

Gambar: Man United Core

Imbas kembali, Fernandes menyertai MU dari Sporting CP sejak Januari 2020 dan berjaya menunjukkan prestasi yang mengagumkan sepanjang dua musim beraksi di EPL.

Maestro Portugal itu diberikan jersi nombor 8 pada musim ini berikutan pemergian Juan Mata dan prestasinya kelihatan meningkat selepas berada di bawah pengurus baharu Erik Ten Hag.

Sejak penampilan sulungnya di Old Trafford pada Februari 2020 menentang Wolves, pemain tengah itu membuktikan dirinya layak menjadi kegemaran peminat.

Perkara itu turut dipersetujui oleh bekas pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer dan kini Ten Hag.

Biarpun diberikan tanggungjawab dalam setiap perlawanan namun itu tidak merendahkan semangatnya, malah Fernandes dilihat menikmati setiap peranan yang diharapkan pasukan.

Untuk rekod, MU kini sedang menduduki tempat keenam carta EPL dengan 12 mata selepas enam perlawanan, hanya mencatat jurang rapat dengan pendahulu Chelsea 13 mata serta Newcastle United 12 mata.

MU yang mendominasi kemenangan empat kali perlawanan EPL secara berturut-turut sebelum ini bakal bertemu dengan musuh ‘jirannya’ Manchester City di Stadium Etihad pada 9 malam ini.

Pertemuan penuh mendebarkan MU – Manchester City yang mendapat julukan Manchester Derby ini menyaksikan pertahanan skuad Ten Hag bakal diuji dengan penggempur berbisa City, Erling Haaland.

Sumber: Manchester United

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana