Siakap Keli
Thailand Cipta Padi "Kalis Banjir"
Gambar: The Thaiger

Mampu Hidup Di Semua Jenis Iklim, Saintis Thailand Cipta Benih Padi Kalis Banjir

Mampu Hidup Di Semua Jenis Iklim, Saintis Thailand Cipta Benih Padi Kalis Banjir

Sekumpulan saintis di Thailand telah mencipta benih padi kalis banjir bagi mengatasi masalah sewaktu hujan lebat yang terus melanda di negara itu, lapor The Thaiger semalam.

Hom Le Noi merupakan baka baharu dan mampu hidup di semua persekitaran iklim, maklum pasukan penyelidik berkenaan.

Ketua penyelidik Pusat Kebangsaan Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi, Dr Theerayut Tuchinda berkata Hom Le Noi juga boleh bertahan dari serangan belalang coklat iaitu spesis serangga invasif yang memakan tanaman padi itu serta kebal daripada penyakit hawar daun bakteria.

“Baka baharu itu telah lama dicipta. Ia bermula sejak tahun 2013 dengan pasukannya memilih benih padi yang terbaik untuk ditanam di makmal penyelidikan.” katanya.

Tambah Theerayut, hasil baka yang ditanam di sepanjang Tasik Songkhla di dua wilayah selatan didapati membesar sehingga 120 sentimeter panjang.

“Apabila dimasak beras Hom Le Noi mempunyai tekstur yang lebih lembut berbanding dengan padi lain yang ditanam di kawasan yang sama.

“Hom Le Noi mempunyai hasil yang stabil dan dianggarkan sekitar 900 kilogram setiap musim bagi setiap tahun, namun bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Sementara itu, beras Thailand memerlukan baka beras yang baharu untuk kekal bersaing dalam pasaran beras global, maklum pengeksport beras.

Kejayaan penyelidik dalam menghasilkan baka baharu itu turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Pengeksport Beras Thai pada awal bulan ini.

Beliau menyatakan bahawa tidak pernah melihat Thailand menciptakan sebarang baka padi baharu dalam tempoh 40 tahun lalu.

Dengan penghasilan baka Hom Le Noi diharapkan akan memudahkan penjagaan padi kepada para petani sewaktu banjir dan meningkatkan sektor pertanian negara itu.

Sumber: The Thaiger, Bangkok Post

BACA JUGA: Lukisan Melengkung RM11 Juta Di Kedah, Hasil ‘Tangan’ 60 Pelukis

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?