Siakap Keli
Kredit: Siakap Keli, Aini Hidayah

Tak Pasal Mak Marah Sebab ‘Tupperware’ Hilang, Rupanya Kawan Sekelas Yang Sorokkan

Baru-baru ini, kami ada membuat satu hantaran di laman facebook Siakap Keli Press mengenai luahan seorang ibu berkenaan kejadian anaknya yang menjadi mangsa buli di sekolah. 

Menerusi hantaran berkenaan, si ibu mendedahkan wang saku anaknya yang baru berusia 7 tahun telah diambil rakan sekelas setiap hari dek kerana personaliti si anak yang disifatkan agak ‘lurus’.

Apa yang mengejutkan, hasil penelitian pada ruangan komen, kami dapati banyak lagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang pernah berdepan dengan situasi hampir serupa. 

Misalnya, seorang ibu mendedahkan wang saku dibawa anaknya sering dicuri rakan-rakan di sekolah, hingga si anak terpaksa mengikat perut kerana tiada duit untuk membeli makanan pada waktu rehat.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada tingkah laku kanak-kanak tersebut sehingga pernah mengamuk kerana lapar. Setelah diselidiki, terbongkar cerita yang anaknya telah di ‘paw’ di sekolah.

Situasi serupa turut dilalui seorang kanak-kanak lain. Kata ibunya, gara-gara wang saku si anak telah diambil, mangsa terpaksa meminjam duit daripada rakan-rakan lain untuk membeli makanan.

Mujurlah perkara berkenaan cepat disedari dan berjaya diselesaikan dengan ibu bapa kepada pelajar lain. Pada masa yang sama, wanita itu turut menyarankan ibu bapa anak mangsa buli untuk memaklumkan perkara sebenar kepada ibu bapa si pembuli.

Menurutnya, setiap ibu bapa sudah tentu mahu memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak masing. Justeru, wajarlah isu tersebut disampaikan supaya ia dapat dibendung dari awal.

Kawan ‘pau’ & sorok bekal

Seorang lagi netizen turut meninggalkan komen serupa, tetapi kali ini bukan duit, sebaliknya bekal makanan yang dibawa anaknya turut diambil pelajar lain. Katanya, walaupun sebelum ini dia seringkali menasihatkan anaknya bahawa berkongsi makanan itu amalan mulia, namun cerita yang dikongsikan anaknya itu membuatkannya hilang kata-kata.

Beliau mendedahkan, bekal makanan anaknya sering diambil rakan-rakan sehingga tinggal sedikit sahaja untuk anaknya makan.

Tak kurang juga, ada waris yang mendedahkan bekal makanan anaknya sering disorokkan pelajar lain. 

Bukan isu kecil, mangsa boleh trauma

Isu ‘pau’ duit atau bekal makanan ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak memandangkan ia tidak mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa.

Namun hakikatnya, perbuatan tersebut adalah sejenis buli yang boleh memudaratkan mangsanya. Meski tiada kecederaan fizikal, ia tetap tidak boleh dipandang enteng kerana secara mentalnya, kita tidak tahu apa yang dirasai oleh anak-anak ini.

Boleh jadi mereka memendam rasa, selalu dibelenggu rasa takut, diejek dan dilihat lemah kerana membiarkan sahaja makanan diambil, ataupun tidak mampu bersuara kerana bimbang kehilangan kawan-kawan. Oleh itu, ibu bapa atau golongan dewasa perlu campur tangan.

Ibu bapa kena peka dengan lima jenis buli ini

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, lima perkara ini dianggap sebagai buli sekiranya berlaku iaitu:

  1. Peras Ugut

Iaitu perbuatan seperti meminta duit, menyembunyikan barang mangsa atau menjadikan pelajar lain sebagai budak suruhan.

  1. Memulau

Meminggirkan pelajar lain atau tidak dimasukkan dalam kumpulan serta tidak suka dengan pelajar yang berkelakuan baik dan mengikut peraturan sekolah.

  1. Buli fizikal

Perbuatan yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa seperti memukul, menendang, mencubit dan sebagainya.

  1. Buli lisan

Perbuatan mengeluarkan ucapan yang tidak bermoral terhadap mangsa seperti mengejek atau mencarut.

  1. Isyarat bukan lisan

Perbuatan seperti menjelir lidah, jegil mata atau menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

Justeru, ibu bapa perlu setiap masa bertanya kepada anak-anak sama ada mereka pernah berdepan dengan situasi di atas ataupun adakah mereka sendiri yang melakukan perbuatan tersebut kepada rakan-rakan yang lain.

Anak-anak perlu diberitahu bahawa perbuatan tersebut sebenarnya adalah perbuatan buli dan menasihatkan mereka apa yang perlu dilakukan sekiranya menjadi mangsa buli atau meminta mereka menghentikan perbuatan tersebut sekiranya mereka adalah pelaku.

Bimbang, bagi anak-anak yang menjadi pelaku dan tidak mengetahui perkara sebenar, mereka akan terus melakukannya kerana menganggap ia hanyalah sekadar gurauan bersama rakan-rakan. 

Tidak dapat tidak, untuk mencegah perbuatan buli ini daripada berterusan berlaku, ia memerlukan campur tangan orang dewasa, terutama guru-guru di sekolah dan ibu bapa di rumah.

Selain itu, bagi ibu bapa yang anaknya menjadi mangsa buli, mereka boleh membuat aduan kepada KPM melalui portal khas yang disediakan. Mereka boleh menghantar aduan secara atas talian menerusi Sistem Aduan SISPAA dengan klik di sini

Aduan juga boleh dibuat melalui email dengan menghantar email kepada [email protected] atau boleh juga dengan menghubungi 0388849325. Terkini, ibu bapa juga boleh membuat aduan menerusi Whatsapp kepada KPM menerusi nombor telefon berikut, 0148009325.

Sekali diingatkan, ibu bapa perlu proaktif memantau tingkah laku dan perubahan anak-anak, terutamanya apabila pulang sekolah. Menyedari perubahan-perubahan yang ditunjukkan lebih awal adalah amat penting sekiranya ia menjadi petanda anak anda adalah mangsa buli di sekolah.

Setiap ibu bapa pasti tidak mahu anaknya menjadi mangsa buli, apatah lagi menjadi pembuli. Justeru, wajar untuk mereka diingatkan selalu bahawa buli itu bukan suatu perkara yang baik dan juga adalah jenayah, lebih-lebih lagi jika melibatkan kecederaan. Bergurau itu ada hadnya, pesan pada anak-anak.

Justeru, jika anda mendapati anak anda menjadi mangsa buli atau pernah membuli, bincanglah dengan pihak sekolah untuk dibuat pemantauan bersama atau boleh terus membuat aduan menerusi portal KPM seperti yang kami kongsikan di atas.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.