Siakap Keli
Kadar Inflasi
Gambar via Bernama

Kadar Inflasi Rendah Didorong Inisiatif Subsidi Kerajaan

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) — Kadar inflasi yang rendah di negara ini didorong oleh inisiatif dan langkah proaktif kerajaan menyediakan subsidi bagi mengekang inflasi serta memastikan Keluarga Malaysia tidak terlalu terbeban dengan cabaran kos sara hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pada masa ini, kadar inflasi di sesetengah negara di peringkat serantau dan global mencatatkan paras yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Kadar inflasi di negara ini akan mencecah ke paras yang lebih tinggi iaitu sehingga 10.6 peratus  sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan dan kesan pelaksanaan subsidi, serta strategi di bawah Dasar Monetari Negara menjadikan kadar inflasi negara kekal pada paras terkawal,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai prestasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dalam menangani kenaikan kadar inflasi, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Nanta turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan subsidi kerajaan untuk beberapa barang keperluan asas ditarik balik, sebaliknya jumlah pemberian subsidi terus meningkat.

Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang bersifat kerjasama sinergi rentas kementerian bertujuan menangani kos sara hidup dan mengawal kadar inflasi.

Antara yang dilaksanakan pasukan khas itu ialah memperluaskan program Jualan Murah Keluarga Malaysia melibatkan 512 kawasan Dewan Undangan Negeri dengan rakyat boleh mendapatkan barangan sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.

Harga murah itu ialah manfaat secara langsung subsidi harga melibatkan peruntukan RM100 juta, katanya.

Nanta berkata turut dilaksanakan ialah kawalan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol secara harga siling bergerak berdasarkan harga minyak sawit mentah dunia.

Selain itu, kerajaan turut meneruskan kawalan harga ayam dan telur ayam serta pemberian subsidi penternakan sebanyak RM1.1 bilion dan memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di bawah inisiatif Bakul Makanan Siswa.

Sumber: BERNAMA

Faiz Mustafa