Siakap Keli
ustaz azhar idrus anak ke-12
Gambar: SALAM Specialist Hospital/video TikTok

“Kalau Comel Ikut Ayoh…” Ustaz Azhar Idrus Timang Cahaya Mata Ke-12

Sering berkongsi ilmu pada orang ramai dengan gaya bersahaja, pendakwah bebas ternama di Malaysia Ustaz Azhar Idrus (UAI) mengejutkan orang ramai dengan berita kelahiran anaknya yang ke-12.

Baru-baru ini, hantaran Facebook SALAM Specialist Hospital Kuala Terengganu mencuri perhatian orang ramai ekoran perkongsian itu melibatkan pendakwah kesayangan orang awam tersebut.

Hantaran itu merupakan perkara yang tidak dijangka oleh warganet ekoran UAI sering berkongsi ilmu agama dan boleh dikatakan beliau amat jarang berkongsi mengenai kehidupan peribadi serta keluarganya. 

Berdasarkan perkongsian itu, apa yang mengejutkan para warganet adalah UAI secara rasminya mempunyai zuriat terbaharu yang difahamkan merupakan anaknya yang ke-12 dalam keluarganya.

Pihak hospital yang menyambut kelahiran bayinya itu mengucapkan tanhiah kepada UAI serta isterinya Puan Izyan atas kelahiran anak mereka di dunia ini.

“Tahniah buat Ustaz Azhar Idrus & Puan Izyan atas kelahiran anak.

“Semoga Allah memberkahi anak ini untukmu dan menjadikannya orang berbakti dan bertaqwa,” maklum hantaran itu.

Ustaz Azhar Idrus bergurau

Dalam pada itu, menerusi satu video Tiktok pemilik akaun @ayu6461, dia berkongsi mengenai gelagat pertemuan pertama UAI bersama bayinya yang baru sahaja dilahirkan.

Jelas terpancar riak bahagia dan gembira pada wajah pendakwah itu, dalam masa yang sama beliau sempat bergurau senda dalam dialek Terengganu bersama jururawat di SALAM Specialist Hospital.

“Orang tua-tua kata kalau comel ikut ayoh, kalau babil ikut mok,” kata UAI semasa melihat cahaya matanya itu.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata orang awam mengucapkan tahniah kepada keluarga UAI dan turut mendoakan kesihatan bayi tersebut.

“Alhamdulillah rezeki bertambah lagi, Tahniah UAI,” kata Shila Hamat.

“Ustaz ni mana-mana pergi pun still lawak tak tinggal, tahniah ustaz dapat baby lagi,” kata Hanna.

Sementara itu, sesetengah penonton turut mendoakan agar bayi itu menjadi anak yang soleh dan dapat menjadi pendakwah bebas yang memberi manfaat kepada orang lain seperti ayahnya.

@ayu6461

“kalo comel ikut ayoh, kalo babil ikut mok” UAI. lawok sokmo ustaz bigboh #uai#ustazazharidrus #newbornbaby

♬ Ya Allaho Ya Rahman – Muhammad Qari Ejaz Ul Haq

Sumber: Facebook / SALAM Specialist Terengganu & Tiktok @ayu6461

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana