Siakap Keli
erik ten hag gesa pasukan lawat muzium
Kredit: AFP via Getty Images

‘Pi Lawat Muzium..Kenang Balik Sejarah Kita’ – Ten Hag

Dalam usaha menyuntik semangat dalam jiwa, pengurus Manchester United Erik Ten Hag menggesa pemain-pemainnya untuk melawat muzium Old Trafford bagi menyelami sejarah kelab terkenal itu.

Ten Hag dilaporkan terkejut kerana segelintir pemain didakwa kurang pengetahuan mengenai sejarah United kerana beliau sendiri sudah melawat muzium kelab tersebut sebanyak dua kali pada waktu berlainan.

Memetik Mirror UK, Ten Hag yang masih tidak dapat menerima kenyataan mengenai kekalahan pasukannya 3-6 di tangan Manchester City itu percaya bahawa mereka perlu mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai maksud mewakili pasukan terkenal.

Menyedari pemahamam skuad Red Devils mengenai sejarah kurang, pengurus kelahiran Belanda itu mengambil keputusan untuk memberi kesedaran dan motivasi kepada mereka untuk terus bermain dengan cemerlang.

Itu merupakan salah satu kaedah yang digunakan Ten Hag bagi mewujudkan perpaduan skuad, kebersamaan dan semangat pasukan.

Beliau percaya bahawa sejarah United termasuk memenangi tiga kejuaraan Piala Eropah dan bertindak sebagai institusi dalam komuniti adalah teras kepada kejayaan masa depan.

Kena bertindak lebih ‘jahat’ malam ini

Menjelang lawatan United ke Everton dalam Liga Perdana (EPL) malam ini, Ten Hag menyeru pemainnya untuk bertindak dengan lebih ‘jahat’ di atas padang.

“Dengan cara itu kadangkala kita boleh maju dan juga bermain dengan lebih bijak. Kami terlalu mempunyai banyak perlawanan.

“Ada beberapa pasukan pada permulaan EPL bermain dengan semangat tetapi saya tertanya-tanya kenapa kami mempunyai begitu banyak ‘bookings’, saya tidak faham,” katanya.

Ujarnya, beliau tidak begitu faham mengenai perlawanan yang berlangsung pada Ahad lepas sewaktu menentang City.

Kata Ten Hag, beliau sentiasa mengingatkan pasukannya untuk terus bermain dengan bijak dan juga bergerak lincah semasa berada dalam padang.

Imbas kembali, skuad Ten Hag terpaksa bertungkus lumus beraksi di atas padang sepanjang 90 minit perlawanan ketika berhadapan dengan jiran seteru zaman-berzaman mereka, City.

Walaupun gawang De Gea dibolosi enam gol hasil ledakan hatrick ‘Si Mesin Gol’ Erling Haaland dan Folden, pemain United seharusnya dipuji kerana kekal tidak ‘koyak’ mental dan bangkit membalas tiga gol.

Malah kekalahan 3-6 kepada City tidak memadam semangat United apabila gergasi EPL itu berjaya membenam kelab Cyprus, Omonia FC 3-2 dalam saingan Liga Eropah baru-baru ini.

United yang sudah menjuarai EPL sebanyak 20 kali bakal bertandang ke Goodison Park pada malam ini untuk menentang Everton bagi perlawanan ke-10 EPL.

Untuk rekod, United kini sedang menduduki tangga ketujuh dalam carta liga dengan 12 mata, dua mata di belakang Brighton dan dua mata meninggalkan kelab kerdil, Liverpool.

Sumber: Mirror UK

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana