Siakap Keli
nenek ditipu lelaki menyamar jadi angkasawan
Gambar: Getty Image via Daily Star

Disebabkan Cinta, Nenek Hilang RM128,000 Ditipu Lelaki Menyamar Angkasawan

Dibutakan dengan cinta, seorang nenek di Jepun rugi berpuluh ribu selepas ditipu lelaki Rusia yang menyamar menjadi angkasawan yang berjanji untuk mengahwininya selepas turun ke Bumi, lapor Daily Star.

Difahamkan wanita warga emas berusia 65 tahun itu sering mengirimkan wang kepada bakal tunangnya (angkasawan) kira-kira RM128,000 secara ansuran dari 19 Ogos hingga 5 September lepas.

Segalanya bermula sejak lelaki tersebut mengenali wanita itu melalui Instagram pada Jun sebelum ‘menghujaninya’ dengan proklamasi cinta supaya mangsa tersebut membayarkan wang untuk dia pulang ke Bumi.

Difahamkan, pasangan itu kerap menghantar pesanan antara satu sama lain melalui aplikasi mesej Jepun, Line untuk sentiasa mengetahui khabar masing-masing yang kononnya terpisah di Bumi dan angkasa.

Tidak cukup dengan itu, angkasawan palsu terbabit mengisytiharkan bahawa dia ingin memulakan hidup baharu di Jepun dan mengucapkan kalimah sayang kepada wanita tersebut.

“Saya mahu memulakan hidup saya di Jepun. Mengatakannya sebanyak 1,000 kali tidak akan cukup tetapi saya akan terus mengatakannya, saya sayang awak,” katanya memetik Daily Star.

Namun kemusykilan mula muncul apabila lelaki itu mendakwa dia terperangkap di angkasa dan kos untuk mendarat ke Bumi bukanlah sesuatu yang murah.

Lelaki Rusia itu mendakwa dia berpangkalan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan menyiarkan gambar generik di angkasa lepas ke laman Instagramnya dalam usaha untuk menipu pengikutnya.

Katanya, dia akan mendarat di Jepun dan berkahwin dengan kekasihnya jadi wang diperlukan untuk membayar wang pendaratan yang mahal dan turut memerlukan roket untuk benar-benar sampai ke Bumi.

Bagaimanapun dia terus menuntut lebih banyak wang tunai dan wanita itu mula curiga dan melaporkannya kepada pihak polis yang kini menyiasat kes itu sebagai kes penipuan dalam  percintaan.

Kes sama pada 2018

Dalam kes yang lain, seorang wanita berusia 51 tahun turut pernah terkena kes yang sama dan sanggup melakukan apa sahaja kerana dia amat menyayangi pasangannya.

Dia bertemu pasangannya yang berusia 44 tahun pada 2018 dan lelaki itu mendakwa dirinya masih dalam proses perceraian.

Namun segalanya berubah apabila wanita tersebut mendapat tahu bahawa lelaki itu masih lagi berstatus suami orang dan telah menggunakannya untuk wang sahaja.

“Mengimbas kembali, saya fikir bagaimana saya boleh mempercayainya? Tetapi saya menyayanginya dan mahu melakukan segala yang saya mampu untuk membantu keadaannya,” ujarnya.

Kemudian lelaki itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan penipuan dan dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan.

Sumber: Daily Star

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana