Siakap Keli
DUN Perak Belum Bubar
Gambar via Bernama

DUN Perak Belum Bubar, Tunggu Pertimbangan Sultan – MB

IPOH, 12 Okt (Bernama) — Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak masih belum dibubarkan sementara menanti pertimbangan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, terhadap permohonan pembubaran yang dipersembahkan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata hasrat berkaitan pembubaran DUN telah dipersembahkan kepada Baginda dalam sesi menghadap hari ini.

“Tadi saya telah serah warkah permohonan pembubaran DUN ke-14 untuk pertimbangan Sultan Perak selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

“Pada sesi itu, Sultan Nazrin bertitah bahawa Baginda mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya.

“Oleh yang demikian, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN Perak akan diumum selepas Tuanku berkenan membuat keputusan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sumber: BERNAMA

Faiz Mustafa