Pemandu Teksi Motosikal Filipina Ubah Suai Motosikal Siap Sedia Hadapi Banjir
Pemandu teksi motosikal di Filipina telah mencipta satu inovasi yang sangat kreatif dan bijak bagi memastikan penumpangnya tidak basah ketika berlakunya banjir.
Ketika penduduk tempatan lain mengharungi air banjir paras pinggang di Hagonoy, terdapat beberapa penduduk menaiki teksi motosikal yang telah diubah suai khas ketika musim banjir.

Memetik laporan The Nation, inovasi pengubahsuaian motosikal dikatakan kreatif kerana boleh menaikkan tempat duduk sehingga lebih dari 1 meter.
Sehubungan itu, ia secara tidak langsung membantu penumpang daripada terkena air banjir yang boleh naik sehingga 2 meter ketika berlakunya taufan monsun.
Daerah Haganoy yang terletak di utara Manila dikatakan sering kali berlaku banjir akibat fenomena air pasang besar di Teluk Manila sehingga menyebabkan jalan raya tidak dapat dilalui oleh beberapa kenderaan kecil.

Pemandu teksi motosikal, Russel Lopez yang telah menjadi pemandu teksi selama 10 tahun berkata kenderaan mereka tidak sesuai untuk menyeberangi air banjir.
Oleh itu, mereka telah mengubah suainya untuk mencari sumber rezeki ketika musim banjir.
“Banjir memberi kesan kepada kami. Kenderaan kami tidak boleh melalui jalan yang dipenuhi air banjir.
“Oleh itu, kebanyakan pemandu teksi motosikal lain telah mengubah suai motosikal mereka untuk mencari rezeki walaupun mengalami banjir selama setahun,” kata Lopez.
Selain itu, Lopez berkata mereka mengenakan bayaran berjumlah 40 peso (RM3.21) seorang untuk sekali perjalanan.
Pada kebiasaannya, setiap perjalanan adalah mengikut laluan yang ditetapkan sekitar kawasan di Hagonoy yang dinaiki air. Hasilnya, mereka memperoleh keuntungan kira-kira 500 peso (RM40) dalam sehari.
Keuntungan yang diperoleh adalah lebih jika dibandingkan dengan menggunakan teksi motosikal yang tidak diubah suai.

Namun begitu, disebabkan oleh kos penyelenggaran dan pelaburan kepada kenderaan, pendapatan harian mereka masih lagi sama.
Ketua kampung, Avelino San Juan berkata banjir kerap berlaku di kawasan perkampungan mereka selama beberapa dekad.
Akan tetapi, sejak kebelakangan ini ia menjadi lebih teruk disebabkan oleh pembuangan sampah dan pembangunan yang mengurangkan sistem saliran sungai, lapor The Nation.
Tambahan pula, kerajaan tempatan Bulacan tidak memberi maklum balas berkenaan hal ini, tetapi di dalam laman web mereka mengatakan projek untuk menggorek sungai bagi mengatasi kes banjir sedang diusahakan.
Malahan, ramai penduduk di Haganoy berkata motosikal yang diubah suai merupakan sumber rezeki bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan seharian.
“Mereka amat penting kepada kami terutamanya kepada mereka yang terpaksa bekerja apabila air banjir tidak surut sehingga petang. Kami semua memerlukan pengangkutan yang sebegini,” kata penduduk tempatan Hagonoy, Lilibeth Alvaro.
Sumber: The Nation