Siakap Keli
coco de mer benih terbesar
Gambar: Animales y Plantes del Mundo/Seychelles Tourism Board

Kenali Pokok Coco-de-Mer, Hasilkan Benih Terbesar Di Dunia Seberat Hampir 20 Kg

Tahukah anda, sejenis pokok palma unik di kepulauan Seychelles yang digelar Coco de Mar mengeluarkan benih terbesar di dunia.

Pulau-pulau tropika di kepulauan Seychelles ialah rumah kepada pokok palma legenda yang menghasilkan benih tumbuhan terbesar di dunia.

Lodoicea Maldivica yang juga dikenali sebagai kelapa berganda atau Coco-de-Mer ialah spesies pokok palma yang tumbuh dengan ketinggian antara 25 hingga 34 meter.

Pokok ini akan menghasilkan biji benih gergasi dengan ukuran 12 panjang, hampir tiga kaki lilitan dan mempunyai berat hampir 20 kilogram (kg).

Namun begitu, benih pokok ini dikatakan memiliki fizikal yang agak unik kerana dikatakan hampir menyerupai bentuk punggung manusia.

Sejarah asal-usul benih

Kredit: Holiday in Seychelles

Benih ini mempunyai kisah atau legendanya yang tersendiri. Hal ini menyebabkan raja-raja dan orang berpengaruh turut mencarinya. Renteten daripada itu, benih ini masih menjadi sambutan daripada pengumpulnya.

Sebagai info, pokok palma Coco-de-Mer berasal dari Pulau Praslin dan Curieuse di Seychelles.

Malah, pada hari ini beberapa pokok palma juga boleh ditemui di pulau kecil di St Pierre, Chauve-Souris dan lle Ronde.

Secara keseluruhannya, kini hanya terdapat 8,000 pokok Lodoicea Maldivica yang matang tumbuh dan meletakkan spesies ini dalam senarai terancam.

Bijinya juga bukan satu-satunya perkara gergasi yang dihasilkan oleh kepala Coco-de-Mer, malah daunnya juga yang berbentuk kipas boleh tumbuh antara 7 hingga 10 meter panjang dan 4-5 meter lebar.

Perkara ini agak luar biasa kerana pokok tersebut dipercayai hanya tumbuh di tanah berbatu yang kekurangan nutrien.

Difahamkan tidak banyak nitrogen dan fosforus di pulau itu, namun Lodoicea Maldivica mampu menyesuaikan diri untuk hidup tanpanya.

Selain pokok ini hanya memerlukan satu per tiga nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan lain, benihnya juga menjadi tumpuan ramai dan sangat dicari kerana jarang berlaku.

Pokok ini bukan sahaja tumbuh di beberapa pulau Seychelles tetapi kitaran hayatnya yang berkurun lamanya membuatkan ia akan menghasilkan kira-kira 100 biji benih.

Difahamkan sebiji benih akan mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh tahun untuk matang dan dua tahun untuk bercambah.

Walau bagaimanapun, percambahan benih ini akan berlaku apabila pokok palma telah mencapai “akil baligh” iaitu kira-kira antara 80 hingga 100 tahun, menurut The Spruce.

Sejarah nama Coco-de-Mer

Gambar: Animales y Plantas del Mundo via Oddity Central

Pokok palma mendapat nama yang popular iaitu Coco-de-Mer kerana pelayar pernah menyangka bahawa benih gergasi yang mereka temui terapung di lautan ialah berasal dari kelapa laut.

Malah, buah yang mengandungi bijinya akan sangat berat dan menyebabkan ia tenggelam ke dasar laut. Setelah beberapa seketika, sekam yang menutupi benih akan mereput dan membolehkan benih menjadi terapung.

Sementara itu, ada kisah legenda tempatan diilhamkan oleh bentuk benih itu yang mengisahkan tentang pokok Coco-de-Mer jantan dan betina yang berkumpul pada waktu malam apabila tiada orang memerhati.

Jika ada yang menyaksikan, maka mereka akan menjadi buta atau mati di tempat kejadian.

Sehingga kini, benih pokok ini sentiasa dicari, lebih-lebih lagi apabila spesies ini semakin terancam.

Malah jika dijual, sebiji benih ini mampu memperoleh beberapa ribu dolar nilainya. Hal ini menyebabkan ia selalu disimpan di dalam sangkar bagi mengelakkan menjadi ‘mangsa’ pemburu haram.

Sumber: Oddity Central

 

Florence Nuar