Siakap Keli

iQIYI Bekerjasama Dengan foodpanda Melancarkan Integrasi Jenama Pertama “Dari Skrip Ke Skrin” Menerusi Drama Original Tempatan ‘Sorry Naik Lori’

Kuala Lumpur, 26 Oktober 2022 – Peneraju penstriman hiburan Asia, iQIYI bakal menayangkan satu lagi judul original tempatan Sorry Naik Lori, yang akan ditayangkan di 191 negara di seluruh dunia bermula 4 November ini. Tayangan perdana kedua ini menyusul selepas kejayaan judul iQIYI original tempatan Rampas Cintaku yang disiarkan pada September lalu yang menduduki tempat kedua sebagai kandungan paling popular di platform iQIYI di Malaysia. Selain itu, Sorry Naik Lori juga menandakan pencapaian penting kepada iQIYI menerusi langkah integrasi jenama pertama “dari skrip ke skrin” dalam drama bersiri OTT, hasil kerjasama dengan foodpanda yang merupakan peneraju platform penghantaran makanan dan barangan runcit dalam talian terkemuka di Asia Tenggara.

Lonjakan dalam perkembangan OTT kini menjadi platform utama dalam menghubungkan golongan Gen Z dan milenial. Kajian menunjukkan kedua-dua kumpulan ini lebih cenderung ke arah senarai kandungan dan mahukan akses tontonan mengikut acuan mereka sendiri iaitu pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, sekali gus meletakkan OTT sebagai platform pilihan. Melalui pemerhatian iQIYI, Gen Z dan milenial membentuk 72% daripada jumlah penonton, dan sedang mencorak laluan baharu di mana platform OTT menjadi alat yang sangat berkesan untuk jenama perniagaan dalam segmen berkenaan melalui pendekatan berbeza.

Dinesh Ratnam, Pengurus Negara iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei berkata, Platform OTT seperti iQIYI menjadi pemangkin pembangunan industri hiburan tempatan dan landasan baharu bagi jenama perniagaan berhubung dengan penonton dengan cara tersendiri. Menerusi platform OTT, terdapat ruang yang lebih besar untuk pembikin filem dan kandungan serta bakat untuk mengekspresi kreativiti mereka. Selain itu, pelbagai jenama perniagaan juga boleh beralih daripada penempatan produk biasa dan mengetengahkan tawaran mereka dengan cara yang lebih berkesan. Oleh itu, kami sangat teruja untuk berganding bahu bersama foodpanda untuk meneroka peluang baharu bagi mengiklankan produk mereka menerusi platform kami.”

Dalam Sorry Naik Lori, foodpanda akan diadaptasi sebagai sebahagian daripada jalan cerita, dengan penghantar makanan foodpanda memainkan salah satu watak utama dalam drama komedi romantik ini. Dengan cara pendedahan jenama terkini, penonton akan turut disajikan dengan informasi secara tidak langsung mengenai perkhidmatan foodpanda serta tawaran baharunya, selain menyelitkan jenama foodpanda dalam pelbagai babak jalan cerita drama ini. 

Mengulas mengenai integrasi jenama pertama seumpamanya, Pengarah Pemasaran foodpanda, Bernard Chong berkata, “foodpanda teruja untuk bekerjasama dan memberi sokongan kepada iQIYI dalam menghasilkan kandungan tempatan berkualiti. Kebanyakan penonton iQIYI merupakan golongan sasar kami, justeru kerjasama ini sangat membantu kami dalam meningkatkan kesedaran jenama menerusi kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan foodpanda yang mana ianya menjangkaui sekadar penghantaran makanan.”

“Walaupun umum tahu bagaimana penghantaran foodpanda dilakukan setiap hari, namun ia tidak setanding dengan pendedahan melalui tontonan di skrin besar. Dalam hal ini, jalan cerita pasangan muda yang terperangkap dalam arus kemodenan adalah sangat menarik untuk kami kongsikan menerusi kerjasama ini. Kami berharap penonton dapat memahami betapa pentingnya foodpanda dalam memudahkan kehidupan seharian,” tambahnya.

Satu lagi rakan kongsi utama dalam menjayakan judul original tempatan ini ialah Universal McCann Malaysia. Chai Yen Yen, Naib Presiden Universal McCann Malaysia berkata, “Perkongsian antara foodpanda dan iQIYI adalah sesuatu yang mengujakan kerana ia telah memberikan kami peluang baharu untuk mengetengahkan jenama, rangkaian produk dan perkhidmatannya. Satu cabaran yang dialami adalah mencari keseimbangan integrasi jenama yang tepat tanpa mengganggu kesepaduan jalan cerita. Oleh itu, kami telah menjalani pelbagai proses dan dialog bersama semua pihak berkepentingan, dan kami berharap dapat menghasilkan siri kandungan yang relevan dan menyeronokkan, yang mana memenuhi kehendak penonton, seterusnya menghasilkan nilai jenama baharu kepada foodpanda.”

Sorry Naik Lori merupakan kisah cinta moden dengan jalan cerita yang berkait dengan masyarakat hari ini iaitu masyarakat yang terlibat secara langsung dengan media sosial. Drama komedi romantik ini memaparkan kisah pasangan muda serta kesan apabila menjadi viral di media sosial dan akibatnya kepada hubungan mereka. 

Jalan cerita berkisar kepada watak Khairul, pemandu lori muda yang menetap di Pulau Pinang dan ‘alah’ kepada media sosial, namun isterinya, Nadia pula bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang influencer. Selepas siaran video secara rawak di aplikasi NikNok membabitkan Nadia di restoran Pasembur ibunya menjadi tular, dia menerima pelbagai tawaran daripada agensi pencari bakat tetapi perlu merahsiakan hubungan dan status perkahwinannya kepada orang ramai. Nadia menolak hasrat suaminya dan memutuskan untuk terus mengejar impian dengan sokongan keluarganya. Tanpa disedari, Khairul pula cuba memasuki dunia viral dan kemasyhuran media sosial tetapi dalam masa sama cuba mempertahankan hubungan perkahwinannya.

Selain lakonan Nizam Othman dan Ruhainies sebagai peneraju utama, Sorry Naik Lori juga menampilkan barisan pelakon terkenal termasuk penyanyi, Tajul; TikToker, Ahmad Saffuan; Nafiz Muaz, Sheila Mambo dan Asha Zainul.

“Sekali lagi, kami menantikan pelancaran judul original tempatan yang memaparkan jalan cerita tempatan untuk mengetengahkan karya Malaysia ke tononton global. Sasaran kami adalah untuk menghasilkan kandungan tempatan yang berkaitan dengan masyarakat hari ini. Sebagai contoh, Sorry Naik Lori ini adalah unik kerana menggabungkan penggunaan media sosial yang boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian serta bagaimana hubungan beralih arah disebabkan kemasyhuran media sosial. Drama ini juga menampilkan tema tentang penerokaan diri, cara percintaan baru dan lama dan juga pengorbanan untuk merealisasikan impian. 

“Kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pasukan berbakat besar di Tsar Asia, yang mana mereka telah mengolah kisah komedi romantik ringan ini menjadi kenyataan. Bersama-sama dengan sokongan daripada Universal McCann, ia membolehkan kami meneruskan usaha menjadikan iQIYI sebagai ‘juara’ kandungan Asia yang digemari,” kata Dinesh.

Sorry Naik Lori akan ditayangkan bermula 4 November ini secara eksklusif di aplikasi iQIYI dan iQIYI International (www.iq.com) di 191 negara di seluruh dunia. Episod baharu akan disiarkan setiap hari Jumaat dan Sabtu pada jam 9 malam.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa