Siakap Keli
babak cameo salman khan
Gambar: Movie Lovers Malaysia

Babak Cameo Paling ‘Legend’, Kuch Kuch Hota Hai Tambat Hati Penonton Sehingga Kini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Babak Cameo Paling Tidak Boleh Lupa, Kuch Kuch Hota Hai Tambat Hati Penonton Sehingga Kini

Filem Hindustan yang dikeluarkan pada zaman 1990-an pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada orang ramai dek kerana jalan penceritaannya yang menarik serta para pelakonnya menjiwai setiap watak yang diberikan.

Bagi mereka yang lahir pada era tersebut, pastinya ternanti-nanti akan filem Hindustan yang dilakonkan oleh pelakon terkenal seperti Shah Rukh Khan, Kajol, Salman Khan, Kareena Kapoor, Rani Mukerji dan lain-lain yang ditayangkan di pawagam.

Pastinya filem yang dilakonkan mereka akan mendapat tempat dalam kalangan penonton termasuk rakyat Malaysia sehingga ada peminat yang sanggup menghafal lagu dan tarian walaupun dalam bahasa berbeza.

Disebabkan zaman dahulu teknologi tidak secanggih kini, panggung wayang merupakan tempat di mana masyarakat menonton filem keluaran terbaharu memandangkan itu sahaja cara mereka menikmati karya layar perak dari pelbagai negara.

Oleh itu, filem yang dikeluarkan pastinya akan pecah panggung kerana tidak ada spoiler yang dihebahkan di internet dan penonton pergi menonton berdasarkan sinopsis yang diberikan serta faktor barisan pelakon yang disukai.

Antara yang boleh dilihat, filem Kuch Kuch Hota Hai yang ditayangkan di India pada 1998 meninggalkan impak besar kepada penonton kerana ramai yang tidak menyangka akan ada watak cameo dalam filem itu.

Menurut peminat filem Rahman Sallehin, poster filem itu yang dipaparkan hanya mempunyai sosok tubuh Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukerji dalam semua bahan promosi dan tiada sebarang ‘klu’ diberikan bahawa ada pelakon yang akan membawa watak cameo.

Rahman menceritakan tentang babak watak cameo paling menarik dalam filem berkenaan menerusi satu perkongsian di kumpulan Facebook MOVIE LOVERS MALAYSIA baru-baru ini.

Watak cameo yang tidak boleh dilupai

Gambar: Times Of India

Katanya, semasa babak pertunangan Anjali yang dimainkan Kajol ditunjukkan, Salman Khan muncul sebagai cameo sehingga penonton di India bersorak kerana menjangkaui pemikiran mereka.

“Justeru, tatkala babak lagu Saajanji Ghar Aaye (scene malam pertunangan Anjali (Kajol)) dan mendedahkan Salman Khan sebagai cameo, satu panggung wayang di India MENJERIT, BERSORAK DAN MENGGILA!” katanya dalam perkongsian itu.

Penonton difahamkan tidak menyangka bahawa Salman Khan akan muncul sebagai cameo yang membawa watak sebagai pengantin lelaki yang akan dikahwinkan bersama Anjali. Sorakan mereka diibaratkan seperti peminat Avengers muncul menerusi portal.

Sehingga kini, watak Salman Khan dianggap sebagai satu cameo yang bersejarah bagi peminat filem Bollywood di India dan babak itu dilabel sebagai babak yang paling diingati.

Watak yang dibawa itu merupakan watak lelaki sempurna yang sanggup menarik diri supaya Anjali dikahwinkan dengan rakan karibnya yang merangkap sebagai first love.

Dengan kehadiran Salman Khan, watak itu menyukarkan proses untuk penonton memilih siapa yang sesuai bagi Anjali. Walaupun cameo itu sekejap namun sehingga kini, peminat masih tidak boleh lupa adegan pertama yang ditunjukkan dalam filem Kuch Kuch Hota Hai itu.

https://www.facebook.com/groups/movieloversmygroup/permalink/2068430276880186/

Sumber: Facebook / Movies Lovers Malaysia via Rahman Sallehin

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana