Siakap Keli
rakyat malaysia drift hatyai
Gambar: Assawin Pakkawan via Bangkok Post

Gara-Gara Aksi Drift Di Hatyai, Rakyat Malaysia Terpaksa Bayar Ganti Rugi RM12,438

SONGKHLA, 30 Okt (Bernama) —  Gara-gara melakukan aksi “drift” di tempat letak kereta, seorang warga Malaysia terpaksa membayar ganti rugi hampir 100,000 baht (RM12,438) kepada empat pemilik kenderaan di Hatyai, Songkhla, selatan Thailand.

Dalam kejadian kira-kira 1 petang (waktu tempatan) pada 28 Okt, pemandu berusia 32 tahun yang membawa kereta jenis BMW itu telah membuat aksi drift di tempat letak di sebuah kem gajah, Chang Puak Camp, Hatyai.

Susulan aksi drift itu, sebuah kereta dan tiga lagi tuk-tuk yang berada tempat letak kereta mengalami kerosakan termasuk cermin pecah dan calar pada kereta dan tuk-tuk.

Tanpa menyedari kerosakan pada kenderaan lain, pemandu itu beredar dari tempat kejadian.

Ketua Polis Pelancong Hatyai Leftenan Kolonel Anuwat Rithichai berkata pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan itu membuat laporan polis pada Jumaat.

“Polis berjaya mengesan kenderaan yang dibawa lelaki warga Malaysia itu di Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand kira-kira 6 petang semalam (Sabtu)

“Pemandu itu bersama isterinya telah dibawa ke balai polis untuk bertemu dengan pemilik kenderaan yang terjejas,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Anuwat berkata kedua-dua pihak bersetuju pemandu berkenaan membayar ganti rugi sebanyak 99,000 baht kepada empat pemilik kenderaan terbabit.

Lelaki itu turut memohon maaf kerana tidak menyedari aksi driftnya  telah menyebabkan kerosakan pada kenderaan lain.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana