Detik Cemas 180 Penumpang Ketakutan, Enjin Pesawat Terbakar Berjaya Dirakam
Seramai lebih 180 orang penumpang sebuah pesawat di India berhadapan detik cemas selepas enjin pesawat yang dinaiki mereka dilapor terbakar sejurus ia berlepas,
Menurut laporan Mail Online, penerbangan yang membawa seramai 184 orang penumpang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi menuju ke Bangalore.
Pegawai penerbangan India dilaporkan telah melancarkan siasatan untuk mengetahui punca mengapa enjin pesawat tersebut boleh terbakar dalam kejadian pada Jumaat lalu.
Kebakaran berjaya dikesan semasa pesawat itu masih bergerak di landasan lapangan terbang tersebut. Insiden itu memaksa juruterbang pesawat berkenaan untuk membatalkan penerbangan itu dan mengosongkan kabin.
Detik enjin pesawat tersebut terbakar berjaya dirakam oleh penumpang yang berada di atas pesawat. Rakaman itu menunjukkan percikan api jingga yang kuat sedang menyambar dan keluar dari enjin pesawat tersebut.
Penumpang juga dilaporkan mendengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat kebakaran di bahagian sisi enjin pesawat.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pesawat itu juga dikatakan telah dikosongkan dengan selamat.
“Penumpang telah membuka tali pinggang mereka dan mula bangun. Semua orang cemas dan cuba memahami apa yang sedang berlaku,” kata seorang pengembara yang juga penumpang pesawat itu kepada Indian Express.
Penumpang itu juga berkata bahawa pesawat itu sedang bergerak laju dan hampir berlepas sebelum berlakunya insiden kebakaran tersebut.
“Saya tidak tahu berapa ramai yang melihat kebakaran di enjin pesawat tersebut kerana penumpang di barisan itu terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak,” kata penumpang itu lagi.
Syarikat penerbangan pesawat tersebut berkata, pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal, justeru mereka telah bertindak pantas dengan membatalkan prosedur berlepas.
“Semua penumpang dan anak kapal selamat. Pesawat alternatif telah diatur untuk mengendalikan penerbangan itu dan berlepas pada pagi pada hari Sabtu,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Sumber: Mail Online