Siakap Keli
Kredit: Bernama

Kadar Subsidi Telur Ayam Naik Dua Sen Berkuat Kuasa Hari Ini – Annuar

KOTA BHARU, 1 Nov (Bernama) — Kerajaan bersetuju menaikkan kadar subsidi bagi telur ayam gred A, B, dan C sebanyak dua sen berkuat kuasa hari ini, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata berikutan itu, kadar subsidi telur ayam di peringkat ladang berubah daripada lapan sen sebiji kepada 10 sen sebiji supaya harga kawalan runcit kekal bagi telur gred A, B, dan C.

Beliau berkata setakat September tahun ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM1.2 bilion untuk subsidi ayam dan telur ayam bagi mengawal harga bahan mentah berkenaan kepada pengguna.

“Dengan peningkatan subsidi yang diputuskan, dianggarkan subsidi ayam dan telur ayam untuk tempoh Oktober hingga Disember tahun ini ialah kira-kira RM600 juta,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata subsidi tambahan ini dijangka memberi manfaat kepada 338 ladang ayam ternakan bagi memastikan bekalan telur di pasaran lebih konsisten dan stabil.

“Kos pengeluaran ayam dipercayai telah meningkat selaras dengan kenaikan kos input semasa selain kawalan harga yang berpanjangan menjadi faktor gangguan pasaran serta bekalan di peringkat pengeluaran.

“Oleh itu, jumlah subsidi sebanyak RM1.136 bilion telah diluluskan hingga 31 Okt lepas dengan melibatkan seramai 13,440 permohonan subsidi ayam dan telur ayam,” katanya.

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma