KJ Sah Bakal Bertanding Di Sungai Buloh
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sah bakal bertanding kerusi parlimen P.107 Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum 15 pada 19 November ini.
Perkara tersebut dikongsikannya melalui akaun Twitter rasmi miliknya sejurus selepas majlis pengumuman calon Barisan Nasional yang diadakan di WTCKL sebentar tadi.
“Alhamdulillah saya baru sahaja diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi P.107 Sungai Buloh. Walaupun cabaran besar, saya akan buat yang terbaik untuk jumpa dan meyakinkan seramai mungkin pengundi SB untuk memberi peluang kepada saya,” tulis ciapan tersebut.
Untuk rekod sebelum ini, Khairy telah memegang kerusi Parlimen Rembau sejak tahun 2008 hingga parlimen dibubarkan baru-baru ini. Ini kali pertama Khairy bakal bertanding di parlimen yang berbeza selepas 14 tahun di Rembau.
Barisan Nasional mengambil keputusan untuk meletakkan Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU kali ini. Tok Mad yang juga ADUN Rantau pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sejak 2004 hingga 2018.
Selain itu, PM Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO bakal mempertahankan kerusinya di Parlimen Bera, Pahang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid juga akan mempertahankan kerusi lamanya iaitu di Parlimen Padang Terap.
Sementara itu, Datuk Seri Reezal Merican Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bakal bertanding P041 Kepala Batas, Tengku Adnan Tengku Mansor bakal mempertahankan kerusi yang sama iaitu P125 Putrajaya.
Nama besar lain ialah Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan juga bakal mempertahankan kerusinya di Ayer Hitam.
Menteri Kesihatan @Khairykj antara yang menghadiri majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).#AndaPenentu pic.twitter.com/iHpPa6o32a
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) November 1, 2022
Sumber: BERNAMA