Tak Puas Hati Jari Hampir Putus Digigit, Lelaki Nekad Masak & Makan Labi-Labi
Seorang lelaki di Thailand hampir kehilangan jari tengahnya selepas digigit oleh seekor labi-labi liar sewaktu cuba menangkap haiwan tersebut di wilayah Kanchanaburi di barat Thailand semalam, lapor The Thaiger.
Anggota penyelamat terus dikerahkan ke rumah mangsa di daerah Tha Maka semalam selepas menerima laporan bahawa seseorang telah digigit oleh seekor labi-labi liar.
Sewaktu sampai ke lokasi kejadian, mereka mendapati bahawa seorang lelaki yang berusia 60 tahun itu sedang terbaring di atas tanah, menangis sambil menahan kesakitan.
Labi-labi liar atau nama saintifiknya dikenali sebagai Trionyx cartigineus itu dilaporkan telah menggigit jari tengah mangsa dan tidak mahu melepaskannya.
Anggota penyelamat mengambil masa sekitar 10 minit untuk melepaskan jari mangsa dari rahang labi-labi liar berkenaan.
Keadaan jari tengah mangsa dikatakan hampir putus dan anggota penyelamat memaklumkan bahawa ianya mungkin perlu dipotong.
Bagaimanapun, pihak hospital telah berjaya menyambung semula jari mangsa yang hampir putus itu dengan 10 jahitan.
Menurut mangsa, dia telah turun ke sungai untuk menangkap haiwan itu dan menjinakkannya. Dia juga memberi haiwan itu makan dan menyediakan tangki air untuk meletakkan haiwan tersebut.
Bagaimanapun, labi-labi liar itu telah bertindak menyerangnya sebaik sahaja dia cuba mengambilnya.
Jelasnya, semasa kejadian dia dan keluarganya telah berusaha untuk cuba melepaskan jarinya dari rahang haiwan tersebut namun kesemua mereka tidak berjaya.
Oleh yang demikian, dia telah menelefon Yayasan Khun Rattanawut bagi meminta bantuan untuk melepaskan jarinya dari rahang labi-labi liar berkenaan.
Walau bagaimanapun, labi-labi liar itu telah mati sewaktu proses mengeluarkan jari tengah mangsa.
Pulang sahaja dari hospital, mangsa bersama keluarganya dilaporkan terus memasak labi-labi liar tersebut lalu memakannya.
Sumber: The Thaiger